ISTANBUL: Kementerian Pertahanan Turkiye memaklumkan bahawa pasukan Pertahanan Udara NATO telah memintas sebutir lagi peluru berpandu balistik yang didakwa dilepaskan dari Iran, menjadikannya insiden keempat sejak konflik AS–Israel dengan Iran tercetus pada 28 Februari.
Menurut kementerian itu, kesemua empat peluru berpandu yang dikesan tidak pernah mengenai wilayah Turkiye.
Dalam kenyataan rasmi, Turkiye berkata, peluru berpandu berkenaan telah memasuki ruang udara negara itu sebelum berjaya dineutralkan oleh sistem pertahanan udara NATO yang ditempatkan di Mediterranean Timur.
Sebagai anggota NATO yang berkongsi sempadan dengan Iran, Turkiye setakat ini terselamat daripada serangan balas Tehran yang menyasarkan beberapa negara Asia Barat lain sepanjang perang berlangsung.
Presiden Recep Tayyip Erdogan sebelum ini menegaskan bahawa keutamaan Ankara adalah memastikan Turkiye tidak terlibat secara langsung dalam konflik tersebut.
“Mengelakkan negara kita daripada ditarik masuk ke dalam bahang perang ini adalah keutamaan nombor satu,” kata Erdogan.
Iran nafi bertanggungjawab
Walaupun Turkiye menyatakan peluru berpandu itu datang dari Iran, Kedutaan Iran di Ankara menafikan perkara tersebut dan menawarkan penubuhan pasukan penyiasat bersama bagi mengenal pasti sumber sebenar pelancaran misil.
Di sebalik penafian Iran, Turkiye minggu lalu mengumumkan bahawa NATO akan menambah sebuah bateri pertahanan udara Patriot di Pangkalan Udara Incirlik di selatan Turkiye - pangkalan yang turut menempatkan anggota tentera Amerika Syarikat. - Agensi