Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat kurang jejaskan harga komoditi makanan global - Bank Dunia

41732515645_WorldBank.jpg
Dalam Laporan Unjuran Pasaran Komoditi bagi April 2026, Bank Dunia menyatakan indeks harga makanan dijangka menokok sebanyak dua peratus pada 2026 dan seterusnya sebanyak satu peratus pada 2027 untuk tempoh tahun ke tahun. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bank Dunia menjangkakan impak konflik Asia Barat terhadap harga komoditi makanan global pada 2026 dan 2027 adalah kecil berbanding tahap awal konflik Rusia-Ukraine, bersandarkan andaian bahawa asas gangguan bekalan di Asia Barat akan mereda menjelang pertengahan tahun ini.

Dalam Laporan Unjuran Pasaran Komoditi bagi April 2026, Bank Dunia menyatakan indeks harga makanan dijangka menokok sebanyak dua peratus pada 2026 dan seterusnya sebanyak satu peratus pada 2027 untuk tempoh tahun ke tahun.

Menurutnya, ini sekali gus memaparkan semakan menaik sehingga tiga mata peratusan bagi kedua-dua tahun yang berkaitan dengan unjuran pada Januari 2026.

Laporan itu yang dikeluarkan baru-baru ini, dipaparkan di akaun rasmi laman sosial X Bank Dunia hari ini.

Bank Dunia memaklumkan, konflik Asia Barat telah menjejaskan harga makanan, terutama menerusi peningkatan kos tenaga dan baja walaupun terdapat pembelian baja bagi musim bunga yang dibuat awal atau sebelum konflik itu meletus.

“(Berikutan itu) harga bijirin dijangka meningkat sebanyak dua peratus pada 2026 dan 2027, didorong terutamanya oleh kenaikan harga gandum dan jagung.

“Pada masa sama, pengeluaran gandum dan jagung pula dijangka susut pada 2026-2027 selepas bekalan kembali pulih dan nisbah stok simpanan kepada penggunaan meningkat pada 2025-2026,” menurutnya.

Susulan itu, menurut Bank Dunia, harga gandum dan jagung diunjur meningkat sebanyak empat peratus pada 2026 dan diikuti dengan kenaikan tambahan masing-masing sebanyak tiga peratus bagi gandum dan satu peratus untuk jagung pada 2027.

Selain itu, Bank Dunia mengunjurkan indeks harga baja meningkat lebih 30 peratus pada 2026, disokong oleh peningkatan kos input, khususnya bagi baja berasaskan nitrogen dan fosfat selain permintaan yang kekal berdaya tahan.

“Bagaimanapun, kenaikan itu jauh lebih rendah berbanding lonjakan ketara pada 2021 dan 2022 yang masing-masing 100 peratus dan 55 peratus,” katanya.

Sementara itu, harga minyak sawit dan minyak kacang soya masing-masing diunjurkan meningkat sebanyak lapan peratus pada 2026 dan kekal stabil pada 2027.

Menurut laporan itu, bekalan eksport minyak boleh makan dijangka terhad pada 2026 berikutan penggunaan domestik minyak kacang soya dan minyak sawit yang lebih tinggi untuk biodiesel di negara pengeksport utama, sebahagiannya disebabkan gangguan bekalan minyak ekoran konflik di Asia Barat.

“Bagaimanapun, pertumbuhan berterusan dalam pengeluaran minyak boleh makan serta nisbah stok kepada penggunaan yang baik dijangka dapat mengekang kenaikan harga,” menurutnya.

Mengenai harga getah asli, laporan itu menyatakan harga dijangka meningkat lebih tujuh peratus pada 2026 dan meningkat sedikit pada 2027 susulan pertumbuhan permintaan yang stabil di pasaran yang sedang pesat membangun serta negara yang sedang membangun.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement