MOSCOW: Negara-negara Teluk Parsi telah mengurangkan pengeluaran sebanyak 6.2 hingga 6.9 juta tong minyak setiap hari susulan krisis di Selat Hormuz, menurut anggaran daripada agensi penetapan harga Argus, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain telah mengikuti Iraq dan Kuwait dalam menyekat pengeluaran kerana ketidakupayaan mereka untuk mengekalkan eksport berikutan penutupan efektif Selat Hormuz, dan keadaan itu telah menyebabkan kemudahan penyimpanan sedia ada diisi dengan cepat.
Berikutan itu, negara-negara berkenaan terpaksa mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 6.2 hingga 6.9 juta tong sehari (bpd) berbanding Februari, menurut anggaran Argus.
Saudi Aramco, syarikat minyak milik kerajaan, telah menggantung operasi di medan luar pesisir Safaniya, Marjan, Zuluf dan Abu Safa, menurut sumber. Argus menganggarkan ini akan mengurangkan pengeluaran sebanyak 2 hingga 2.5 juta bpd.
Menurut sumber, pengeluaran Iraq ialah 4.42 juta bpd pada Februari, tetapi pada 8 Mac ia telah jatuh kepada 1.5-1.7 juta bpd dan dijangka menurun lagi kepada 1.2-1.3 juta bpd.
Kuwait juga telah mula mengurangkan pengeluaran minyak. Perbadanan Petroleum Kuwait (KPC) mengumumkan pada 7 Mac bahawa ia telah mula mengurangkan pengeluaran minyak dan penggunaan penapisan.
Malah, menurut notis dagangan KPC seperti dilaporkan Reuters, syarikat itu mengisytiharkan force majeure (keadaan luar jangka) untuk penghantaran minyak mentah dan produk petroleum.
Pengeluaran Kuwait telah jatuh kepada sekitar 2 juta bpd daripada 2.59 juta bpd pada Februari dan tidak lama lagi boleh merosot kepada sekitar 1.5 juta bpd berikutan pengurangan kapasiti penapisan, kata sumber kepada Argus.
ADNOC, syarikat minyak nasional UAE, mengumumkan pada 7 Mac bahawa ia meneruskan operasi seperti biasa ketika berlakunya masalah perkapalan di Selat Hormuz, menggunakan pilihan eksport lain.
Bagaimanapun, sumber Argus percaya bahawa pengeluaran UAE telah jatuh kepada 2.7-3 juta bpd daripada 3.53 juta bpd pada Februari.
Syarikat minyak Bapco Bahrain mengisytiharkan force majeure pada 9 Mac berikutan letupan di kilang penapisannya, lapor agensi berita BNA. Kapasiti pengeluaran kilang penapisan itu ialah 405,000 bpd.
Pada 28 Feb, AS dan Israel mula menyerang sasaran di Iran, termasuk Tehran, menyebabkan kerosakan dan korban awam.
Iran bertindak balas dengan serangan ke atas wilayah Israel serta aset tentera AS di Asia Barat.
Ketegangan di sekitar Iran telah membawa kepada sekatan Selat Hormuz, laluan utama untuk bekalan minyak dan gas asli cecair dari Teluk Parsi ke pasaran global dan telah menjejaskan eksport serta pengeluaran minyak di rantau berkenaan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI