LONDON: Sebuah kapal selam berkuasa nuklear milik Tentera Laut Diraja Britain telah tiba di Laut Arab dan mampu melancarkan serangan peluru berpandu jelajah ke atas Iran, menurut media Britain pada Sabtu memetik sumber tentera, lapor Xinhua.
Kapal selam berkenaan, HMS Anson, dilengkapi peluru berpandu serangan darat Tomahawk Block IV serta torpedo berat Spearfish, dan dipercayai berada di perairan dalam utara Laut Arab, menurut Daily Mail.
Ini bermakna tentera Britain mempunyai keupayaan untuk melancarkan serangan ke atas Iran sekiranya konflik semakin memuncak.
Jika mendapat kebenaran perdana menteri, laporan itu menyatakan HMS Anson akan diarahkan untuk melancarkan serangan dan akan naik hampir ke permukaan bagi melepaskan empat peluru berpandu.
Britain pada Jumaat bersetuju membenarkan Amerika Syarikat (AS) menggunakan pangkalan ketenteraannya bagi melaksanakan “operasi untuk melemahkan tapak peluru berpandu dan keupayaan yang digunakan untuk menyerang kapal di Selat Hormuz”, sambil menegaskan komitmen untuk “tidak terlibat dalam konflik yang lebih luas”.
-- BERNAMA-XINHUA