BEIRUT: Israel melancarkan serangan udara ke atas ibu negara Lubnan, Beirut, ketika Amerika Syarikat (AS) pula mengesahkan telah menyerang sebuah kapal tangki minyak berbendera Iran yang cuba menembusi sekatan di perairan Teluk Oman.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata serangan di Beirut menyasarkan seorang komander kanan kumpulan Hezbollah yang didakwa bertanggungjawab melancarkan serangan terhadap penempatan Israel serta anggota tenteranya.
Namun, setakat ini belum jelas sama ada komander pasukan elit Radwan Hezbollah itu terbunuh dalam serangan berkenaan.
Serangan tersebut menandakan peningkatan ketegangan walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah sebelum ini masih berkuat kuasa, dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian.
Dalam perkembangan berkaitan, Komando Pusat AS memaklumkan pihaknya telah menembak dan melumpuhkan sebuah kapal minyak berbendera Iran yang didakwa cuba melanggar sekatan maritim di rantau tersebut.
Tindakan itu dilihat sebagai sebahagian usaha berterusan Washington mengekang aktiviti Iran di kawasan strategik berkenaan.
Ketegangan serantau terus meningkat apabila Hezbollah, yang disokong Iran, sebelum ini melancarkan serangan roket dan dron ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan Israel di rantau itu.
Penganalisis menyifatkan situasi semasa sebagai sangat rapuh, dengan risiko konflik lebih besar sekiranya serangan balas terus meningkat, khususnya melibatkan Israel, Hezbollah dan Iran.