Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran tuntut pampasan daripada AS, tegaskan kedaulatan Selat Hormuz

Vehicles drive past a billboard with graphic showing Strait of Hormuz and sewn lips of U.S. President Donald Trump in a square in downtown Tehran, Iran, Saturday, May 2, 2026. (AP Photo/Vahid Salemi)
Iran menolak pelan AS kerana ia dianggap memerlukan negara itu tunduk kepada tuntutan berlebihan Presiden AS, Donald Trump. - Foto fail/AP

ISTANBUL: Iran mengemukakan cadangan balas terhadap pelan damai Amerika Syarikat (AS) dengan menuntut pampasan serta menegaskan kedaulatannya ke atas Selat Hormuz, menurut laporan media negara itu.

Agensi Anadolu melaporkan, memetik penyiar negara Iran, Press TV, bahawa cadangan tersebut turut menuntut penamatan sekatan ekonomi ke atas Tehran serta pembebasan aset Iran yang dibekukan di luar negara.

Menurut laporan itu, Iran menolak pelan AS kerana ia dianggap memerlukan negara itu tunduk kepada tuntutan berlebihan Presiden AS, Donald Trump, selain menegaskan hak asas rakyat Iran perlu dihormati.

Sebagai reaksi, Trump berkata beliau telah meneliti maklum balas Iran dan menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima sama sekali”.

Ketegangan di rantau Asia Barat meningkat sejak 28 Februari lalu apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, yang kemudian dibalas dengan tindakan ketenteraan oleh Tehran serta gangguan terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz.

Satu gencatan senjata yang diusahakan melalui perantaraan Pakistan mula berkuat kuasa pada 8 April, namun rundingan di Islamabad gagal mencapai penyelesaian muktamad.

Gencatan itu kemudian dilanjutkan tanpa tempoh yang ditetapkan.

Sejak 13 April, AS turut melaksanakan sekatan laut dengan menyasarkan pergerakan maritim Iran di Selat Hormuz, laluan strategik yang menjadi nadi perdagangan minyak global.

Perkembangan terbaharu ini menunjukkan rundingan antara kedua-dua pihak masih berdepan kebuntuan, sekali gus menimbulkan kebimbangan baharu terhadap kestabilan serantau dan keselamatan bekalan tenaga dunia.
 

 

Must Watch Video