DI tengah jutaan manusia yang bersesak-sesak di Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji, pelakon veteran Mahmud Ali Bashah tidak berbicara tentang populariti, kerjaya atau kamera. Sebaliknya, pada usia 66 tahun, hanya satu perkara yang sering bermain di fikirannya - kematian.
“Saya selalu fikirkan kematian. Pada umur saya macam ini, kita tak tahu bila,” katanya perlahan, hampir seperti berbisik, ketika ditemui di Tanah Suci.
Kesedaran itu, menurut Mahmud, semakin kuat apabila usia meningkat dan semakin ramai rakan seperjuangan dalam dunia seni telah pergi mendahuluinya.
Mahmud mengakui kesedaran untuk mendaftar haji hadir agak lewat, ketika usianya menjangkau lewat 20-an dan awal 30-an, selepas melihat rakan-rakan sekeliling mula menunaikan umrah dan haji.
“Masa muda, kita sibuk dengan kerja, dengan kehidupan. Bila tengok kawan-kawan pergi haji dan umrah, barulah timbul kesedaran,” katanya.
Namun kelewatan itu membawa harga yang mahal, tempoh menunggu panjang sehingga puluhan tahun, selain terpaksa membuat rayuan sebanyak tiga kali sebelum akhirnya namanya terpilih.
“Kalau ikut giliran asal, mungkin 10 ke 20 tahun lagi. Umur kita tak tahu,” katanya yang menjadi antara jemaah muasasah yang menunaikan haji tahun ini.
Kesyukuran jelas terpancar di wajah Mahmud apabila akhirnya berada di Mekah, menunaikan rukun Islam kelima ketika tubuhnya masih diberikan nikmat kesihatan.
“Alhamdulillah… sementara badan masih sihat, Allah beri peluang,” katanya.
Beliau pernah menunaikan umrah sebelum pandemik COVID-19, namun pengalaman haji disifatkannya jauh lebih mendalam dan menyentuh jiwa.
“Haji ini lebih ‘total’. Lebih terasa. Lebih dalam,” ujarnya.
Setelah 37 tahun terlibat dalam dunia lakonan, Mahmud mengakui kehidupannya di Kuala Lumpur yang sibuk menuntut banyak pengorbanan masa dan tenaga.
Kini, beliau memilih untuk pulang menetap di kampung halaman di Sarawak dan memperlahankan ritma kehidupan.
“Ini masa untuk diri sendiri. Untuk tenang,” katanya.
Walaupun tidak menutup pintu sepenuhnya kepada dunia lakonan, Mahmud menegaskan beliau kini lebih selektif, hanya menerima watak yang membawa nilai baik dan bermakna.
“Watak negatif, saya tolak. Kalau yang baik, insya-Allah,” katanya.
Bagi Mahmud, kehadiran di Tanah Suci telah mengubah cara beliau menilai kehidupan. Setiap ibadah, setiap pandangan terhadap Kaabah dan setiap pertemuan dengan jemaah lain menyuburkan satu kesedaran, hidup di dunia ini tidak panjang.
“Bila buat ibadah haji, kesedaran itu datang… bahawa kita sepatutnya lebih fokus pada akhirat,” katanya.
Beliau mengakui, sebagai manusia, sifat lalai dan lupa itu memang ada, terutama ketika usia muda dan berada di puncak kerjaya.
Namun usia yang semakin meningkat mengajarnya satu hakikat besar.
“Sampai bila kita nak lalai? Bila lagi kita nak berubah?” soalnya.
Mahmud turut menitipkan nasihat kepada rakan-rakan artis dan sahabat seperjuangan supaya tidak melengahkan niat untuk berubah dan mendekatkan diri kepada Allah.
“Kalau ada peluang, pergilah umrah, pergilah haji. Insya-Allah, kita akan jadi lebih baik,” katanya.
Di Tanah Suci, Mahmud Ali Bashah bukan lagi dikenali sebagai pelakon di layar kaca, tetapi sebagai seorang hamba yang sedang mempersiapkan diri dengan kesedaran bahawa hidup ini sementara, dan kematian itu pasti.