ISTANBUL: Iran menyasarkan 14 pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Timur Tengah sejak pencerobohan AS-Israel terhadap negara itu, menurut seorang jurucakap tentera Iran.
Bercakap dalam temu bual televisyen lewat Jumaat, jurucakap Angkatan Tentera Iran, Brigedier Jeneral Abolfazl Shekarchi berkata banyak pangkalan tentera AS di Asia Barat telah musnah sepenuhnya dan memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk dibina semula.
Menyentuh mengenai kehadiran kapal AS dan Israel di rantau itu, Shekarchi berkata kapal milik AS dan Israel akan menjadi sasaran angkatan tentera Iran jika mereka cuba melalui Selat Hormuz.
“Semua kapal dibenarkan melalui Selat Hormuz kecuali kapal milik AS dan Israel,” kata jurucakap itu, menurut Agensi Berita Mehr Iran.
Menekankan keperluan kerjasama dalam kalangan negara serantau untuk menghadapi ancaman luar, Shekarchi berkata AS dan Israel telah memulakan perang terhadap Iran sehingga mengancam keselamatan negara di seluruh rantau itu.
Beliau menggesa negara serantau bekerjasama untuk mengusir pangkalan tentera AS dari rantau itu.
Dalam kenyataannya, Shekarchi turut mengkritik strategi AS di Timur Tengah dengan berkata Washington sedang melaksanakan dasar berbahaya yang mencetuskan konflik di rantau itu.
Kehadiran AS di Timur Tengah mewujudkan ancaman kepada semua negara di rantau ini, tambahnya.
Pada 28 Feb, AS dan Israel melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi di seluruh Iran termasuk ibu negara, Tehran. Sebagai tindak balas terhadap serangan itu, pasukan Iran melancarkan serangan ke atas empat pangkalan tentera AS di Qatar, Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu.
-- BERNAMA