TEHRAN: Iran memaklumkan bahawa cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan konflik yang berterusan masih dalam pertimbangan, di tengah laporan bahawa kedua-dua pihak semakin hampir mencapai persetujuan.
Menurut laporan Axios, White House percaya rundingan berpotensi menghasilkan memorandum persefahaman 14 perkara sebagai rangka awal bagi perbincangan nuklear yang lebih terperinci.
Antara cadangan utama termasuk penggantungan pengayaan nuklear Iran, pelonggaran sekatan, serta pembukaan semula laluan di Selat Hormuz.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Parlimen Iran menyifatkan cadangan itu sebagai sekadar “senarai hasrat”, manakala jurucakap Kementerian Luar Iran, Ismail Baghaei, berkata Tehran akan menyampaikan pendirian mereka melalui perantara, termasuk Pakistan.
Menteri Luar Pakistan pula memaklumkan usaha sedang dijalankan untuk menukar gencatan senjata sedia ada kepada penamatan perang secara kekal.
Presiden AS Donald Trump menyatakan rundingan dalam tempoh 24 jam lalu berjalan “sangat baik” dan perjanjian mungkin dicapai.
Namun beliau turut mengeluarkan amaran keras bahawa jika Iran tidak bersetuju, AS akan melancarkan serangan pada “tahap yang jauh lebih tinggi dan intensif”.
Dalam masa sama, ketegangan kekal tinggi apabila Iran memberi amaran akan bertindak balas sekiranya AS tidak memberikan konsesi, manakala Trump menegaskan operasi ketenteraan sebelum ini akan ditamatkan hanya jika Iran memenuhi syarat yang dipersetujui.
Selat Hormuz, laluan penting bagi kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia, masih terjejas akibat sekatan dan konflik, walaupun gencatan senjata diumumkan sebelum ini.
Situasi ini terus memberi kesan kepada perdagangan tenaga global.
Di rantau itu, Israel turut meningkatkan tekanan terhadap sekutu Iran.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata terdapat “penyelarasan penuh” dengan AS, dengan matlamat utama menghapuskan keupayaan pengayaan nuklear Iran.
Walaupun terdapat usaha diplomatik, kedua-dua pihak masih bertukar ancaman ketenteraan, menandakan rundingan kekal rapuh dan masa depan perjanjian masih belum pasti.