TEL AVIV: Iran dilaporkan melancarkan lebih 10 peluru berpandu ke arah Israel dalam tiga gelombang serangan terbaharu, menurut laporan penyiar Channel 12 Israel.
Laporan itu menyatakan serangan berkenaan termasuk penggunaan sekurang-kurangnya sebuah kepala peledak berfragmentasi, dan telah mencetuskan bunyi siren amaran di beberapa kawasan di tengah Israel.
Siren keselamatan dilaporkan berbunyi di beberapa bandar utama ketika sistem pertahanan udara negara itu diaktifkan bagi memintas peluru berpandu yang dilancarkan.
Dalam kejadian berkenaan, seorang wanita berusia lingkungan 90-an dilaporkan cedera parah ketika cuba menuju ke sebuah pusat perlindungan.
Penyiar tersebut, memetik Perkhidmatan Ambulans Israel, berkata mangsa kini berada dalam keadaan serius.
Setakat ini, pihak berkuasa Israel belum mengeluarkan angka rasmi mengenai tahap kerosakan atau kemungkinan mangsa lain akibat serangan itu.
Serangan terbaharu tersebut meningkatkan lagi ketegangan antara Iran dan Israel, ketika konflik serantau berterusan tanpa tanda-tanda reda, sekali gus mencetuskan kebimbangan antarabangsa mengenai risiko konflik yang lebih meluas.