TEHRAN: Iran tidak akan sesekali menyerahkan kawalan ke atas Selat Hormuz, demikian tegas seorang ahli politik kanan negara itu dalam wawancara bersama BBC.
“Tidak pernah,” kata Ahli Parlimen kanan Iran, Ebrahim Azizi, apabila ditanya sama ada Tehran bersedia melepaskan kawalan ke atas laluan perairan strategik tersebut.
Azizi, bekas komander Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata, kawalan ke atas Selat Hormuz merupakan “hak mutlak yang tidak boleh dinafikan” Iran.
“Iran berhak menentukan laluan pelayaran, termasuk memberi kebenaran kepada kapal-kapal yang ingin melalui Selat Hormuz,” katanya dalam temu bual di Tehran.
Beliau turut memaklumkan, langkah itu bakal dimaktubkan dalam undang-undang.
“Kami sedang membentangkan rang undang-undang di Parlimen berasaskan Perkara 110 Perlembagaan, melibatkan aspek alam sekitar, keselamatan maritim dan keselamatan negara.
"Undang-undang ini akan dikuatkuasakan oleh angkatan tentera,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Iran.
Kenyataan itu hadir ketika kebimbangan global semakin memuncak mengenai kemungkinan penutupan laluan perairan strategik tersebut, yang dilihat berpotensi mencetuskan kejutan ekonomi berskala global.
Perkembangan itu turut menunjukkan krisis berkenaan bukan bersifat jangka pendek dan tidak mudah diselesaikan dalam tempoh singkat.
Menurut Azizi, konflik perang telah memberikan Tehran satu ‘senjata baharu’, apabila Selat Hormuz kini dianggap sebagai aset strategik dalam berdepan musuh.
“Selat ini adalah antara aset utama kami untuk menghadapi musuh,” katanya.
Azizi merupakan tokoh penting dalam Parlimen Iran yang didominasi kumpulan konservatif keras.
Beliau mencerminkan pemikiran sebahagian pembuat keputusan kanan dalam susunan baharu pasca-perang yang semakin bersifat ketenteraan dan dikuasai IRGC, susulan beberapa siri pembunuhan tokoh kanan Iran dalam serangan Israel.
Iran kini melihat keupayaannya mengawal laluan perkapalan antarabangsa termasuk kapal minyak dan gas — bukan sekadar sebagai alat rundingan semasa, malah sebagai pengaruh strategik jangka panjang.
“Keutamaan utama Iran selepas perang adalah memulihkan daya cegah ketenteraan, dan Selat Hormuz merupakan antara leverage strategik utama negara,” kata Felo Penyelidik Universiti Tehran, Mohammad Eslami.
Beliau menjelaskan, Tehran terbuka untuk berbincang bagaimana negara lain boleh mendapat manfaat daripada kerangka baharu pengurusan selat tersebut, namun kawalan mutlak kekal sebagai garis merah.
Namun, pendekatan itu ditolak oleh beberapa negara jiran Iran yang masih berang susulan serangan Tehran ke atas wilayah mereka sepanjang lima minggu konflik, yang kini terhenti menerusi gencatan senjata sementara yang rapuh.
Penasihat Diplomatik Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dr Anwar Gargash, menyifatkan usaha Iran mengawal selat itu sebagai “tindakan lanun bermusuhan.”
Beliau memberi amaran, keengganan Iran melepaskan kawalan ke atas perairan antarabangsa berkenaan boleh mewujudkan “precedent berbahaya” terhadap laluan strategik lain di dunia.
Azizi bagaimanapun menepis kritikan itu, menyifatkan negara-negara Teluk sebagai “lanun yang menyerahkan rantau ini kepada Amerika Syarikat (AS)”, merujuk kehadiran pangkalan tentera AS di Asia Barat yang menjadi sasaran serangan dron dan peluru berpandu Iran.
“Amerika Syarikat adalah lanun terbesar dunia,” katanya.
Azizi menegaskan, Iran sentiasa menyeru kerjasama serantau demi keselamatan bersama, namun visi itu kini dilihat musnah bagi kebanyakan negara Teluk, kecuali Oman — sekutu rapat Tehran yang mengawal pesisir selatan Selat Hormuz.
Oman sebelum ini terlibat dalam perbincangan dengan Iran bagi memastikan laluan kapal berjalan lancar dan selamat.
Dalam masa sama, terdapat petanda perbezaan pandangan dalam kalangan elit politik dan ketenteraan Iran.
Perkara itu terserlah susulan kritikan terbuka terhadap Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, yang memuat naik kenyataan di media sosial pada Jumaat lalu bahawa Selat Hormuz “dibuka sepenuhnya.”
Presiden AS, Donald Trump, segera membalas dengan ucapan “THANK YOU” dalam huruf besar di media sosial.
Tidak lama kemudian, media berkait IRGC mengkritik usaha Araghchi.
Agensi berita Mehr menyifatkan kenyataan itu memberi “peluang terbaik kepada Trump untuk mengisytiharkan kemenangan perang.”
Agensi Tasnim pula melabelkan kenyataan tersebut sebagai “ciapan buruk dan tidak lengkap yang mencetuskan kekeliruan mengenai pembukaan Selat Hormuz”.
Araghchi kemudian menjelaskan laluan itu hanya dibuka kepada kapal yang mendapat kebenaran Tentera Laut IRGC melalui laluan ditetapkan serta tertakluk kepada bayaran.
Azizi menolak dakwaan wujud perpecahan dalaman.
“Dalam soal keselamatan negara, tiada perbezaan antara pendekatan sederhana atau keras,” tegasnya.
Masa depan Selat Hormuz dijangka ditentukan oleh kepimpinan tertinggi negara itu dan menjadi isu teras dalam rundingan peringkat tinggi yang dilaporkan akan disambung semula di Islamabad.
Trump sebelum ini mengesahkan penghantaran delegasi AS ke rundingan itu yang diketuai Naib Presiden, JD Vance.
Bagaimanapun, Tehran masih berdiam diri mengenai kehadiran pasukan perundingnya yang diketuai Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf, dengan media tempatan melaporkan Iran tidak akan hadir selagi sekatan AS ke atas pelabuhan negara itu berterusan.
Trump turut berulang kali menggesa Iran membuka laluan perairan berkenaan, termasuk menerusi hantaran media sosial bersifat ancaman pada 5 April lalu.
Beliau menuduh Tehran cuba “memeras ugut” Washington.
“Saya tidak mengharapkan apa-apa daripada seorang yang memutar belit kebenaran,” kata Azizi.
“Kami hanya mempertahankan hak kami daripada ugutan Amerika.”
Azizi turut mengulas mengenai sekatan internet dan gelombang tangkapan, termasuk hukuman mati ke atas penunjuk perasaan dalam protes besar Januari lalu yang ditindas secara ganas.
Iran mendakwa rusuhan tersebut didalangi perisikan AS dan Israel.
“Dalam peperangan, walaupun ketika gencatan senjata, tetap ada undang-undangnya,” kata Azizi. - Agensi