Skip to main content

Dunia

Pesawat ringan terhempas di Florida, ragut satu nyawa

Wreckage from a small plane lies behind homes in the Grand Oaks subdivision after it crashed into residential backyards, in Florida, U.S., April 19, 2026. REUTERS/Octavio Jones
Serpihan pesawat yang terhempas kelihatan di kawasan belakang rumah di kawasan perumahan Grand Oaks, Florida, AS, 19 April 2026. REUTERS

ISTANBUL: Sebuah pesawat ringan terhempas di halaman sebuah rumah di negeri Florida, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, menyebabkan seorang mangsa maut, lapor Anadolu Ajansi memetik media tempatan dan pihak berkuasa.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengenal pasti pesawat itu sebagai Cessna C402 yang berlepas dari Tampa North Aero Park sebelum terhempas di kawasan perumahan di Wesley Chapel sekitar 8.35 pagi waktu tempatan (1235 GMT).

Menurut FAA, hanya juruterbang berada di dalam pesawat itu.

Nahas itu turut mencetuskan kebakaran yang menyebabkan sedikit kerosakan pada rumah berhampiran, kata pegawai maklumat awam Daerah Pasco Sarah Andeara kepada stesen gabungan CBS, WTSP.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) memaklumkan pesawat itu terhempas dalam "keadaan yang belum diketahui" dan telah menghantar seorang penyiasat ke lokasi kejadian. 

Pesawat itu akan dipindahkan ke lokasi lain untuk penilaian lanjut selepas tempat kejadian didokumentasikan.

FAA dan NTSB sedang menyiasat insiden itu, dengan NTSB mengetuai siasatan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video