HYDERABAD: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pada Ahad menegaskan, negaranya komited meneruskan peranan sebagai pengantara bagi menamatkan perang di Asia Barat ketika ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) semakin memuncak.
Shehbaz pada malam Ahad mengadakan perbualan telefon selama 45 minit dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian bagi membincangkan perkembangan terkini situasi serantau.
Minggu lepas, Perdana Menteri Pakistan itu mengadakan lawatan ke Arab Saudi, Qatar dan Turkiye sebagai sebahagian daripada usaha diplomasi berprofil tinggi Islamabad untuk mewujudkan ketenangan jangka panjang di Asia Barat selepas Iran dan AS pada 7 April bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu hasil pengantaraan Pakistan.
Panglima Tentera Pakistan, Fil Marsyal Syed Asim Munir pula berada di Iran selama tiga hari bagi mengadakan rundingan dengan pemimpin tertinggi negara itu, ketika timbul jangkaan bahawa Iran dan AS akan mengadakan pusingan baharu rundingan di Islamabad bagi mencapai persetujuan.
“Saya hargai penglibatan Iran, termasuk penghantaran delegasi peringkat tinggi ke Islamabad bagi rundingan bersejarah itu, serta perbincangan baru-baru ini dengan Fil Marsyal Syed Asim Munir di Tehran.
“Saya juga berkongsi pandangan hasil pertemuan saya dengan pemimpin Arab Saudi, Qatar dan Turkiye baru-baru ini.
“Saya turut memberi jaminan kepadanya bahawa, dengan sokongan rakan dan negara sahabat, Pakistan kekal komited sepenuhnya terhadap peranan sebagai pemudah cara yang jujur dan ikhlas demi keamanan berkekalan serta kestabilan serantau,” kata Shehbaz menerusi hantaran di platform X selepas perbualan itu.
Kenyataan terbaharu Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin Iran menunjukkan kedua-dua pihak masih gagal merapatkan perbezaan mereka, sekali gus menggagalkan usaha mencapai persetujuan ketika para perunding bertemu di ibu negara Pakistan itu pada 11 dan 12 April.
Pegawai Iran khususnya mengecam tindakan AS yang baru-baru ini melaksanakan apa yang disifatkan sebagai “sekatan laut” terhadap Iran.
Jurucakap Kementerian Luar, Esmaeil Baqaei berkata, tindakan itu bukan sahaja merupakan “pelanggaran terhadap gencatan senjata yang diusahakan Pakistan, malah menyalahi undang-undang dan bersifat jenayah.”
Iran menegaskan, kesungguhannya untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada “sebarang tindakan provokasi baharu oleh Amerika dan rejim Zionis” susulan pengumuman Trump bahawa AS telah merampas sebuah kapal kargo Iran bernama Touska berhampiran Selat Hormuz.
Iran berikrar akan bertindak balas terhadap serangan tentera AS ke atas kapal itu, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa ketegangan yang semakin meningkat antara AS dan Iran boleh menjejaskan proses damai yang diusahakan Islamabad.
“AS melanggar gencatan senjata dan melakukan lanun maritim dengan melepaskan tembakan ke arah sebuah kapal komersial Iran di Teluk Oman, melumpuhkan sistem navigasinya dan menurunkan anggota bersenjata ke atas kapal itu.
“Iran akan bertindak balas tidak lama lagi,” menurut kenyataan tentera Iran.
Walaupun AS mengumumkan akan menghantar delegasi ke Pakistan bagi pusingan baharu rundingan damai, Iran belum mengesahkan pertemuan itu.
Laporan mengenai rundingan pusingan kedua di Islamabad adalah tidak benar, menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA) pada Ahad.
“Desakan melampau AS, tuntutan yang tidak munasabah dan tidak realistik, pendirian yang sering berubah-ubah, percanggahan berterusan, serta apa yang dipanggil sekatan laut yang melanggar persefahaman gencatan senjata, di samping retorik ugutan, setakat ini telah menghalang kemajuan rundingan,” menurut IRNA dalam hantaran di X.
-- BERNAMA