Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran ancam perluas serangan selepas Trump ugut 'bedil ke Zaman Batu'

Sumber: REUTERS
Sebagai tindak balas, Iran dilapor melancarkan beberapa gelombang serangan peluru berpandu ke arah Tel Aviv serta kawasan di bahagian tengah dan utara Israel. -Gambar fail/Reuters

TEHRAN: Iran menerusi Komando Pusat Khatam al‑Anbiya hari ini memberi amaran akan melancarkan serangan lebih meluas dan membinasakan ke atas Amerika Syarikat (AS) susulan ancaman terbaharu oleh Presiden Donald Trump.

Amaran keras itu dikeluarkan beberapa jam selepas Trump, dalam ucapan dari White House, mengugut untuk membedil Iran 'kembali ke Zaman Batu' dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang sekiranya tiada penyelesaian rundingan dicapai.

Trump turut mendakwa operasi ketenteraan AS kini hampir selesai, sambil mendakwa Washington telah berjaya melumpuhkan sebahagian besar keupayaan pertahanan serta aset maritim Iran sepanjang kira-kira sebulan konflik berlarutan.

Sebagai tindak balas, Iran dilapor melancarkan beberapa gelombang serangan peluru berpandu ke arah Tel Aviv serta kawasan di bahagian tengah dan utara Israel.

Komando tentera Iran menegaskan mereka tidak akan menyerah kalah dan bersedia memperluas skala serangan sekiranya berdepan sebarang provokasi bersenjata daripada Washington.

Ketegangan yang semakin memuncak ini turut menyaksikan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menamakan 18 syarikat teknologi dan industri AS di rantau berkenaan sebagai sasaran sah kerana didakwa membantu operasi ketenteraan musuh.

Perang mulut dan ketenteraan antara kedua-dua pihak telah mencetuskan kejutan di pasaran global, apabila harga minyak mentah Brent melonjak melepasi AS$105 setong, manakala pasaran saham antarabangsa dilaporkan merosot ketara.

Pihak berkuasa Iran turut menafikan dakwaan Trump bahawa Tehran sedang merayu untuk gencatan senjata, sambil menyifatkan tuntutan AS sebagai tidak rasional dan bersifat memaksa.

Setakat ini, gangguan di Selat Hormuz masih berterusan sehingga memberi kesan besar terhadap aktiviti pelayaran maritim di laluan strategik berkenaan.

 

Must Watch Video