KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengekalkan tindakan kompaun sebanyak RM100,000 terhadap Rapid Rail Sdn Bhd (RRSB) atas kesalahan di bawah Seksyen 101(10) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
APAD menerusi kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu dikenakan susulan satu insiden yang melibatkan 213 penumpang dengan 65 daripadanya mengalami kecederaan di Stesen LRT KLCC menghala Stesen LRT Kampung Baru pada 24 Mei 2021.
“Akibat kepincangan penyelenggaraan, RRSB selaku pengendali berlesen telah gagal untuk memastikan jajaran kereta api selamat untuk pengoperasian sehingga mengakibatkan limb rail berada dalam keadaan tidak boleh dibaca di kedua-dua arah.
“Perkara ini telah menyebabkan kegagalan untuk mengendalikan tren dengan selamat sehingga berlaku insiden terbabit," menurut kenyataan itu.
Agensi berkenaan turut menegaskan bahawa keselamatan operasi pengangkutan awam darat menjadi keutamaan dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan penguatkuasaan itu bukan sahaja sebagai langkah pematuhan undang-undang, tetapi juga berfungsi sebagai peringatan tegas kepada semua pengendali perkhidmatan kereta api agar sentiasa memastikan penyelenggaraan dilaksanakan mengikut piawaian teknikal ditetapkan serta latihan mencukupi diberikan kepada kakitangan terlibat.
“Keputusan untuk mengenakan kompaun ini juga mengambil kira kepentingan awam dan prinsip akauntabiliti dalam memastikan integriti sistem pengangkutan kereta api negara terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.
APAD turut menyatakan komitmen agensi itu untuk memperkukuh aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan setiap pengendali mematuhi sepenuhnya keperluan perundangan dan operasi serta standard keselamatan yang telah ditetapkan.
-- BERNAMA