TEHRAN: Ketegangan di Teluk Parsi terus memuncak apabila Jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Brigedier Jeneral Ali Mohammad Naini, menolak dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa keupayaan maritim Iran telah “dimusnahkan”, sambil mencabar Presiden AS Donald Trump supaya membuktikannya.
Dalam laporan yang disiarkan agensi separa rasmi Tasnim, Ali menegaskan bahawa Selat Hormuz berada sepenuhnya di bawah kawalan Iran dan memberi amaran bahawa sebarang bentuk pencerobohan akan menerima tindak balas yang “tegas dan menghancurkan”.
“Selat Hormuz berada di bawah kawalan penuh Iran, dan setiap tindakan agresif akan dibalas secara tegas,” katanya.
Mengulas kenyataan Trump sebelum ini bahawa beliau telah “memusnahkan tentera laut Iran”, Ali membalas sinis:
“Bukankah Trump mendakwa tentera laut Iran telah dimusnahkan? Jika benar, biar dia hantar kapal-kapalnya masuk ke Teluk Parsi kalau dia berani.”
Kenyataan pedas itu mencerminkan keyakinan Iran terhadap keupayaan pertahanan lautnya, meskipun Washington sebelum ini mendakwa operasinya telah melemahkan aset ketenteraan Tehran.
Ali turut mendedahkan angka terkini mengenai serangan balas Iran sejak bermulanya konflik dengan AS dan Israel, menyatakan bahawa:
- lebih 700 peluru berpandu telah dilancarkan, dan
- 3,600 dron telah dihantar ke sasaran “AS dan Zionis”.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai lokasi atau tahap kerosakan yang terlibat.
Dalam kenyataannya, Ali turut memberi amaran bahawa Iran masih memiliki sistem senjata berkuasa tinggi yang belum pun dikerahkan.
“Kami belum menggunakan sebahagian besar senjata strategik kami.
"Serangan akan diteruskan sehingga kami yakin tahap pencegahan telah dipulihkan sepenuhnya,” tegasnya.
Kenyataan itu mencetuskan kebimbangan bahawa konflik berpotensi berkembang lebih luas, terutama di kawasan maritim sensitif seperti Teluk Parsi dan Selat Hormuz, laluan penting bagi hampir 20 peratus perdagangan minyak global.
Pemerhati antarabangsa berkata retorik keras antara Tehran dan Washington menunjukkan tiada tanda-tanda penurunan konflik dalam masa terdekat, malah risiko salah perhitungan semakin tinggi.
Situasi di kawasan Teluk terus dipantau rapat oleh negara-negara pengeluar minyak serta pasaran global yang bimbang akan gangguan besar terhadap rantaian bekalan tenaga dunia.