Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Amaran Iran buat Amerika, terima pelan damai atau berdepan kegagalan

An Iranian man walks next to a mural on a street in Tehran, Iran, May 11, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY
Seorang lelaki Iran melintas bangunan yang dihiasi mural di sebuah jalan di Tehran, Iran pada 11 Mei 2026. - Gambar Reuters

TEHRAN: Iran memberi amaran bahawa Amerika Syarikat (AS) perlu menerima pelan damai terbaharunya atau berdepan kegagalan, selepas Presiden AS, Donald Trump, memberi bayangan gencatan senjata dalam perang di Asia Barat kini berada di ambang keruntuhan.

Ketua perunding Iran berkata pada Selasa bahawa pelan damai terbaharu itu merangkumi penamatan perang di semua medan konflik, termasuk di Lubnan, selain menuntut penghentian sekatan laut oleh AS terhadap pelabuhan Iran.

Konflik yang tercetus lebih dua bulan lalu susulan serangan AS-Israel ke atas Iran itu telah merebak ke seluruh Asia Barat, mengganggu ekonomi global walaupun gencatan senjata dilaksanakan, sekali gus memberi kesan kepada ratusan juta penduduk di seluruh dunia.

Walaupun kedua-dua pihak enggan membuat kompromi dan berulang kali mengancam untuk menyambung semula pertempuran, namun tidak kelihatan bersedia untuk kembali kepada perang berskala penuh.

“Tiada pilihan selain menerima hak rakyat Iran seperti yang digariskan dalam cadangan 14 perkara. Sebarang pendekatan lain hanya akan membawa kegagalan demi kegagalan,” kata Mohammad Bagher Ghalibaf menerusi hantaran di platform X.

Beliau turut memberi amaran bahawa sebarang kelewatan hanya akan meningkatkan kos yang perlu ditanggung oleh pembayar cukai Amerika.

Sementara itu, Pentagon memaklumkan kos perang setakat ini meningkat kepada hampir AS$29 bilion, iaitu kira-kira AS$4 bilion lebih tinggi berbanding anggaran dua minggu lalu.

Iran mengemukakan cadangan terbaharunya sebagai tindak balas kepada pelan awal AS, yang butirannya masih terhad. 

Laporan media menyebut pelan Washington melibatkan satu memorandum persefahaman ringkas bagi menamatkan pertempuran dan mewujudkan rangka kerja rundingan mengenai program nuklear Iran.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Iran berkata, respons Tehran menuntut penamatan perang di semua medan termasuk di Lubnan, pemberhentian sekatan laut AS ke atas pelabuhan Iran, serta pembebasan aset Iran yang dibekukan di luar negara akibat sekatan antarabangsa.

Trump bagaimanapun menyifatkan maklum balas Iran itu sebagai “langsung tidak boleh diterima”, sambil menegaskan, AS akan mencapai “kemenangan penuh” ke atas Iran, dan memberi amaran bahawa gencatan senjata yang menghentikan pertempuran sejak lebih sebulan lalu kini berada di penghujungnya.

Presiden AS itu turut berkata sebelum berlepas ke China pada Selasa bahawa beliau akan mengadakan perbincangan panjang dengan Presiden China, Xi Jinping, mengenai isu Iran, namun menegaskan, beliau tidak memerlukan bantuan Beijing untuk menamatkan perang.

Dalam perkembangan berkaitan, Pasukan Pengawal Revolusi Iran memaklumkan mereka telah mengadakan latihan ketenteraan di Tehran bagi meningkatkan keupayaan tempur untuk berdepan “sebarang pergerakan musuh Amerika-Zionis.”

Jurucakap Kementerian Pertahanan Iran, Reza Talaei-Nik pula memberi amaran bahawa jika AS “gagal tunduk kepada tuntutan sah dan muktamad rakyat Iran di medan diplomasi, ia harus bersedia menghadapi kekalahan berulang di medan ketenteraan”.

Perang antara kedua-dua pihak turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Iran mengenai masa depan mereka.

“Kami hanya berusaha berpaut pada apa sahaja yang boleh membantu kami bertahan. Masa depan terlalu tidak menentu dan kami hidup dari hari ke hari,” kata Maryam, 43, seorang pelukis dari Tehran kepada wartawan berpangkalan di Paris.

“Kami cuba mencari jalan untuk terus bertahan. Menyimpan harapan amat sukar ketika ini,” tambahnya.

Reaksi keras Trump terhadap cadangan balas Iran mencetuskan lonjakan harga minyak dan menjejaskan harapan untuk mencapai perjanjian segera bagi membuka semula Selat Hormuz kepada perkapalan komersial.

Iran sebelum ini mengehadkan pergerakan kapal di laluan perairan strategik itu serta merancang mekanisme bayaran tol bagi kapal yang melaluinya, sekali gus mencetuskan krisis tenaga global yang disifatkan ketua syarikat minyak Saudi Aramco sebagai kejutan bekalan tenaga terbesar pernah dialami dunia.

Pegawai AS menegaskan adalah “tidak boleh diterima” bagi Iran mengekalkan kawalan ke atas Selat Hormuz, yang lazimnya membawa sekitar satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli dunia.

“Iran tidak sepatutnya menggunakan selat ini sebagai senjata untuk menekan atau memeras ugut negara-negara Teluk,” kata Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani.

Sementara itu, Sanam Vakil, Pengarah Program Asia Barat dan Afrika Utara di firma pemikir Chatham House berkata, kepimpinan Iran “percaya mereka mampu bertahan lebih lama daripada Trump.”

Menurutnya, Tehran komited terhadap rundingan, namun mahu “meraih lebih banyak konsesi memandangkan kedudukan mereka kini semakin kukuh”.

Medan perang "neraka"

Di medan konflik Lubnan, serangan Israel terus dilaporkan berlaku di selatan negara itu pada Selasa, meskipun perjanjian gencatan senjata telah dicapai, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Serangan udara Israel di selatan Lubnan dilaporkan mengorbankan 13 orang, termasuk seorang anggota tentera, seorang kanak-kanak dan dua petugas penyelamat.

Menteri Kesihatan Lubnan sebelum ini berkata, lebih 2,880 orang terbunuh sejak negara itu terheret ke dalam konflik lebih besar bermula 2 Mac lalu, termasuk 380 kematian selepas gencatan senjata berkuat kuasa.

Ketua Hezbollah, Naim Qassem, menegaskan senjata kumpulan itu tidak termasuk dalam pusingan ketiga rundingan antara Lubnan dan Israel yang dijadual berlangsung minggu ini, sambil berikrar tidak akan menyerah kalah “walau sebesar mana sekali pun pengorbanan.”

“Kami tidak akan meninggalkan medan perang, dan kami akan menjadikannya neraka buat Israel,” katanya dalam satu kenyataan. - Agensi
 

Must Watch Video