Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Albanese gesa Trump jelaskan objektif perang di Iran

61744940830_tbAnthonyAlbanese.jpg
Albanese (foto) berkata beliau mahu melihat kepastian mengenai matlamat ketenteraan yang ingin dicapai, selain berharap usaha pengurangan ketegangan dapat dilaksanakan bagi mengelakkan konflik terus memuncak. -Gambar fail

CANBERRA: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberikan hala tuju yang lebih jelas mengenai objektif peperangan di Iran, sambil menekankan keperluan segera untuk mengurangkan ketegangan di rantau berkenaan.

Albanese berkata beliau mahu melihat kepastian mengenai matlamat ketenteraan yang ingin dicapai, selain berharap usaha pengurangan ketegangan dapat dilaksanakan bagi mengelakkan konflik terus memuncak, lapor Al Jazeera.

“Saya mahu melihat lebih banyak kepastian tentang apa sebenarnya objektif peperangan ini, dan saya mahu melihat pengurangan ketegangan berlaku,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Australia menghantar aset udara bagi menyokong pertahanan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas permintaan negara berkenaan dalam menghadapi ancaman berkaitan konflik Iran.

Langkah itu menggambarkan pendekatan berhati-hati Australia untuk tidak terlibat secara langsung dalam operasi ketenteraan ofensif, meskipun kekal sebagai sekutu rapat keselamatan Washington di rantau Pasifik dan Asia Barat.

Penganalisis geopolitik melihat gesaan baharu Albanese sebagai gambaran kebimbangan sekutu AS terhadap strategi ketenteraan Trump, yang dianggap belum jelas dan berisiko menjejaskan kestabilan ekonomi global jika konflik berlarutan.

Beberapa negara kuasa besar turut menyuarakan kebimbangan mengenai potensi gangguan rantaian bekalan tenaga global sekiranya objektif konflik tidak diselesaikan melalui saluran diplomatik dalam masa terdekat.

Must Watch Video