Skip to main content

Dunia

[KOLUMNIS] 45 kilometer: Mengapa jarak tidak menjamin keterhubungan

INSERT_GoRental hiang Mai 1.jpg
Kampung Huay Nam Rin di Chiang Mai membuktikan bahawa keterhubungan bukan soal jarak, tetapi akses apabila sistem mikrogrid oleh GoRental Global membawa elektrik terus ke komuniti luar grid. - Gambar GoRental

PETA sering memberi gambaran bahawa jarak boleh diukur dengan mudah. Namun di lapangan, jarak jarang sekali menceritakan keseluruhan kisah. Kampung Huay Nam Rin di Chiang Mai mengingatkan bahawa keterhubungan tidak ditentukan oleh kilometer semata‑mata.

Kampung ini terletak kira-kira 45 kilometer dari bandar Chiang Mai, satu jarak yang pada ukuran bandar moden sepatutnya mudah diatasi namun realitinya berbeza. Kedudukannya di kawasan pergunungan, dipisahkan oleh bentuk muka bumi yang mencabar, menjadikan sambungan grid elektrik sukar, mahal dan selama ini dianggap tidak praktikal.

Di sinilah geografi mengajar satu perkara asas iaitu ruang bukan hanya tentang jarak fizikal, tetapi tentang akses, manakala masa ialah tentang berapa lama sesebuah komuniti terpaksa menunggu untuk menikmati kemudahan asas yang di tempat lain dianggap sebagai hak.

Ketika penulis berada di Kampung Huay Nam Rin, perkara yang paling ketara bukanlah keterpencilannya, tetapi keheningan waktu malam. Apabila matahari terbenam, kegelapan mengambil alih lebih cepat berbanding di bandar. Sebelum ini, elektrik daripada generator diesel hanya mampu digunakan beberapa jam sehari. Selebihnya, kehidupan bergantung kepada cahaya lilin dan lampu minyak.

Dalam konteks geografi sosial, ini adalah contoh jelas bagaimana ketiadaan tenaga memutuskan keterhubungan dari pendidikan, ekonomi hingga maruah hidup. Kanak-kanak tidak dapat menyiapkan kerja sekolah pada waktu malam. Aktiviti pertanian, khususnya penanaman bunga kekwa yang memerlukan pencahayaan, bergantung sepenuhnya kepada diesel yang semakin mahal. Malam pula bukan sekadar gelap, tetapi penuh risiko keselamatan.

Di sini, masa menjadi musuh. Sokongan tenaga yang sepatutnya sampai bertahun-tahun lebih awal hanya kini mula dirasai. Sepanjang tempoh itu, generasi demi generasi membesar dalam keadaan serba terbatas, bukan kerana kekurangan usaha tetapi kerana kedudukan fizikal mereka di pinggir sistem.

Inisiatif #GoImpact oleh GoRental Global membawa pandangan berbeza terhadap isu ini. Daripada melihat kampung seperti Huay Nam Rin sebagai “terlalu jauh untuk dibantu”, pendekatan ini melihatnya sebagai ruang strategik yang memerlukan penyelesaian tenaga yang berbeza. Melalui sistem mikrogrid berasaskan tenaga solar dan bateri mudah alih, tenaga tidak lagi bergantung kepada talian grid yang panjang dan mahal, sebaliknya dijana dan disimpan secara setempat.

Sebanyak 31 unit storan bateri mudah alih dan 60 panel solar dipasang, membentuk mikrogrid komuniti dengan kapasiti sekitar 40 kilowatt. Dari sudut geografi, menarik untuk melihat bagaimana sistem ini mengecilkan jurang ruang bukan dengan membina jalan baharu atau menarik kabel ke puncak gunung, tetapi dengan membawa sumber tenaga terus ke titik penggunaan.

Perubahan itu dirasai dengan segera. Lampu yang menyala sepanjang malam bukan sekadar sumber cahaya, tetapi simbol keterhubungan baharu. Kanak-kanak kini boleh belajar dengan lebih selesa. Penduduk boleh berinteraksi pada waktu malam tanpa rasa takut. Aktiviti ekonomi tidak lagi terikat kepada jam operasi generator. Lebih penting, tenaga ini mengembalikan kawalan terhadap masa  kebebasan untuk menentukan bagaimana malam dilalui dan bagaimana masa depan dibentuk.

Dalam konteks dunia yang semakin tidak stabil dari segi tenaga, projek seperti ini wajar dilihat melangkaui komuniti setempat. Konflik di Asia Barat menunjukkan betapa komuniti yang bergantung kepada diesel terdedah kepada turun naik harga global. Bagi kampung seperti Huay Nam Rin, setiap kenaikan harga bahan api bukan isu makro, tetapi tekanan langsung terhadap kehidupan seharian.

Dalam hal ini, tenaga bersih bukan sekadar agenda alam sekitar tetapi satu bentuk daya tahan ruang untuk memastikan komuniti yang jauh dari pusat kuasa tidak terus terkesan oleh krisis yang berlaku ribuan kilometer jauhnya.

Apa yang berlaku di Kampung Huay Nam Rin juga dekat dengan realiti Malaysia. Di Sabah, Sarawak dan pedalaman Semenanjung, terdapat banyak komuniti luar bandar yang secara fizikal tidak terlalu jauh dari bandar namun berdepan cabaran akses yang sama. Persoalannya bukan lagi sama ada teknologi itu wujud, tetapi sama ada terdapat kesediaan untuk melihat ruang luar bandar sebagai sebahagian daripada ekosistem negara, bukan pinggiran yang sentiasa menunggu giliran.

Melihat inisiatif #GoImpact secara langsung mengukuhkan satu kesimpulan, keterhubungan bukan lagi soal jarak, tetapi soal keputusan. Keputusan untuk melabur, untuk mendekati dan untuk mengiktiraf bahawa akses kepada tenaga adalah asas kepada keadilan spatial.

45 kilometer itu akhirnya membawa satu pengajaran besar. Dalam peta pembangunan, yang paling jauh bukan selalu yang paling terasing. Kadangkala, yang tercicir hanyalah mereka yang belum tersambung.


* Nik Nuur Azam Shah merupakan wartawan Astro AWANI yang berkelulusan jurusan Geografi dari Universiti Malaya.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

Must Watch Video