Skip to main content

Dunia

Kira-kira 1,900 kapal terkandas di sekitar Selat Hormuz

hormuz, AP
Tehran menyatakan bahawa kapal dari negara selain AS dan Israel dibenarkan melalui Selat Hormuz selagi mereka tidak menyertai atau menyokong pencerobohan terhadap Iran, serta mematuhi sepenuhnya peraturan keselamatan dan perlindungan. - AP

LONDON: Kira-kira 1,900 kapal komersial terkandas di Selat Hormuz, terutamanya di Teluk Parsi, sejak bermulanya serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lepas, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Susulan permulaan serangan itu, Tehran bertindak menutup laluan air penting berkenaan kepada kapal-kapal yang mempunyai kaitan dengan negara penyerang, sekali gus menyebabkan trafik maritim di selat itu terhenti sepenuhnya.

Kapal-kapal di rantau berkenaan yang sedang bersiap sedia untuk melalui selat itu tidak dapat berbuat demikian berikutan ketegangan ketenteraan, dengan sebahagian besar kapal yang terkandas terpaksa melabuhkan sauh di perairan terbuka.

Tehran menyatakan bahawa kapal dari negara selain AS dan Israel dibenarkan melalui Selat Hormuz selagi mereka tidak menyertai atau menyokong pencerobohan terhadap Iran, serta mematuhi sepenuhnya peraturan keselamatan dan perlindungan.

Jurucakap markas bersepadu angkatan tentera Iran, Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya, Ebrahim Zolfaqari pada Rabu berkata pihak Iran telah mengubah peraturan di selat berkenaan dan keadaan tidak akan kembali seperti sebelum perang, sambil menegaskan tiada entiti yang dikaitkan dengan AS dan Israel mempunyai hak untuk melaluinya.

Setakat 20 hingga 22 Mac, kira-kira 1,900 kapal tidak dapat bergerak di sekitar Selat Hormuz, menurut pengesan kapal masa nyata, MarineTraffic.

Antara yang terkandas termasuk 324 kapal pengangkut pukal, 315 kapal pengangkut produk minyak/kimia, 267 kapal pengangkut produk petroleum, dan 211 kapal tangki minyak mentah.

Menurut firma analitis Vortexa, kira-kira 190 juta tong minyak mentah dan produk petroleum berada di atas kapal tangki yang terkandas di rantau itu.

Sementara itu, 177 kapal kargo am, 174 kapal kontena, 98 kapal pengangkut gas petroleum cecair (LPG), 42 kapal pengangkut asfalt/bitumen, 37 kapal angkat berat, dan 34 kapal tangki LPG/kimia turut berada di rantau berkenaan, manakala bakinya terdiri daripada jenis lain seperti kapal kargo Ro-Ro dan kapal tangki bekalan bahan api.

Syarikat Hapag-Lloyd dari Jerman baru-baru ini melaporkan bahawa enam buah kapalnya tidak dapat beroperasi di Teluk Parsi di tengah-tengah ketegangan yang berlaku.

Pengarah analisis maritim di Majlis Maritim Baltik dan Antarabangsa, Filipe Gouveia memberitahu Anadolu bahawa kesan pemberhentian trafik maritim terhadap pasaran maritim dan kadar tambang akan bergantung kepada pelbagai faktor.

Gouveia menyatakan bahawa perkembangan harga bahan api, tempoh penutupan selat, dan jumlah kapal yang dibenarkan oleh Iran untuk melaluinya akan menjadi faktor penentu, sementara ketegangan di rantau itu kini mula menjejaskan kadar tambang.

Kenaikan itu amat ketara dalam pasaran kapal tangki, termasuk kapal tangki minyak mentah dan produk petroleum.

Beliau berkata, sejak 27 Februari, Indeks Kapal Tangki Kotor Baltik meningkat 49 peratus dan Indeks Kapal Tangki Bersih Baltik sebanyak 78 peratus setakat 20 Mac, dengan kadar tambang dalam pasaran kontena turut melonjak.

Kenaikan kos bahan api dan pengumuman surcaj bahan api kecemasan oleh syarikat perkapalan turut menyumbang kepada peningkatan itu.

Beliau berkata dalam keadaan normal, 30 peratus daripada eksport minyak melalui laut global, empat peratus kargo pukal kering, dan tiga peratus jumlah kontena melalui Selat Hormuz, manakala hanya sebahagian kecil eksport dari Teluk Parsi boleh diperoleh daripada sumber alternatif, selain laluan darat alternatif tidak mempunyai kapasiti untuk memenuhi keperluan jumlah kargo biasa.

Gouveia berkata  sekitar 5.5 peratus daripada armada kapal tangki dunia dan 1.5 peratus daripada armada kargo kering kontena dianggarkan berada di Teluk Parsi pada masa ini.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video