SEOUL: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un telah memilih anak perempuannya, Kim Ju Ae, sebagai pengganti, menurut agensi perisikan Korea Selatan pada Khamis.
Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) berkata penilaian itu dibuat berdasarkan peningkatan ketara peranan dan kehadiran Ju Ae di acara rasmi, termasuk lawatannya ke Beijing pada September lalu, perjalanan luar negara pertamanya yang diketahui umum.
Ahli Parlimen Lee Seong-kwen berkata Ju Ae, yang dipercayai berusia 13 tahun, kini berada pada peringkat “penetapan pengganti” selepas sebelum ini dikatakan sedang “dilatih” untuk mengambil alih kepimpinan.
Beliau kerap dilihat menemani bapanya pada acara besar, termasuk ulang tahun penubuhan Tentera Rakyat Korea dan lawatan ke Istana Matahari Kumsusan.
Penonjolan Ju Ae mencetuskan perhatian kerana Korea Utara merupakan masyarakat yang sangat berorientasikan lelaki.
NIS percaya Kim Jong Un mempunyai seorang anak lelaki lebih tua, namun anak itu tidak pernah ditampilkan dalam media negara.
Ju Ae pula mendapat liputan meluas sejak kemunculannya di televisyen pada 2022 ketika menyertai Kim Jong Un memeriksa peluru berpandu balistik antara benua.
Dalam beberapa acara rasmi, Ju Ae turut dilihat berdiri sebaris dengan Kim Jong Un, sesuatu yang jarang berlaku dalam imej rasmi Korea Utara, di mana hanya pemimpin utama negara ditempatkan di kedudukan paling menonjol.
LIHAT VIDEO: Kim Jong Un ketengah anak perempuan sebagai pengganti
Ahli Parlimen Park Sun-won berkata kedudukannya menunjukkan Ju Ae kini dilayan sebagai figura kedua paling berpengaruh dalam hierarki kepimpinan.
NIS turut memantau sama ada Ju Ae akan menghadiri kongres parti pemerintah akhir bulan ini, acara politik terbesar Korea Utara yang diadakan setiap lima tahun untuk menetapkan hala tuju negara termasuk dasar luar, strategi ketenteraan dan program nuklear.
Kim Ju Ae merupakan satu-satunya anak Kim Jong Un dan Ri Sol Ju yang diakui secara terbuka.
Kehadirannya mula diketahui pada 2013 apabila bintang bola keranjang AS, Dennis Rodman, mendedahkan bahawa beliau pernah “mengendong Ju Ae” ketika bayi semasa melawat negara itu.
Namun persoalan kekal, mengapa Kim Jong Un, yang masih muda dan kelihatan sihat, sudah menamakan seorang anak berusia 13 tahun sebagai penggantinya?
Dan apakah perubahan yang mungkin dibawa Ju Ae jika beliau benar-benar bakal mengambil alih kelak?
Buat masa ini, hala tuju kepimpinan masa depan Korea Utara masih menjadi persoalan besar.