BRUSSELS: Kesatuan Eropah berdepan risiko kejutan stagflasi susulan konflik berterusan di Asia Barat yang mendorong kenaikan harga tenaga dan menjejaskan prospek ekonomi, kata Pesuruhjaya Ekonomi Eropah Valdis Dombrovskis pada Jumaat, lapor Xinhua.
Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat maya Eurogroup, Dombrovskis berkata konflik itu semakin memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini sehingga menyebabkan harga tenaga meningkat dengan ketara.
Pada 28 Februari, Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan bersama ke atas Tehran dan beberapa bandar lain di Iran, membunuh Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei, bersama komander tentera kanan dan orang awam. Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta pangkalan dan aset AS di Asia Barat.
Selat Hormuz, laluan strategik yang menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia, dilaporkan ditutup. Harga minyak mentah Brent pula didagangkan melebihi AS$100 setong selama dua minggu berturut-turut, katanya.
“Prospek ekonomi kini diselubungi ketidaktentuan yang mendalam, namun jelas yang kita berdepan risiko kejutan stagflasi,” kata Dombrovskis, merujuk kepada keadaan di mana pertumbuhan perlahan berlaku serentak dengan inflasi yang tinggi.
Beliau berkata walaupun gangguan bekalan tenaga hanya bersifat sementara, pertumbuhan ekonomi EU pada 2026 boleh menjadi sekitar 0.4 mata peratusan lebih rendah daripada unjuran dalam ramalan musim luruh Suruhanjaya, manakala inflasi boleh meningkat sehingga satu mata peratusan.
Jika gangguan lebih serius dan berpanjangan, pertumbuhan bagi 2026 dan 2027 boleh menjadi sehingga 0.6 mata peratusan lebih rendah, katanya.
Mengenai tindak balas dasar, beliau berkata pemimpin EU meminta Suruhanjaya Eropah menyediakan langkah bersasar dan sementara untuk menangani kenaikan harga tenaga.
Langkah itu termasuk cadangan untuk menurunkan cukai elektrik, meningkatkan kecekapan infrastruktur grid, serta memodenkan Sistem Perdagangan Pelepasan EU bagi mengurangkan ketidaktentuan harga.
Suruhanjaya juga bersedia bekerjasama rapat dengan negara anggota untuk merangka langkah di peringkat nasional bagi mengurangkan kesan terhadap isi rumah dan perniagaan, katanya.
Dombrovskis menegaskan yang sebarang tindak balas dasar perlu bersasar, sementara dan selaras dengan matlamat jangka panjang penyahkarbonan blok itu, selain mengelakkan peningkatan permintaan keseluruhan terhadap minyak dan gas.
“Keutamaan utama kita sekarang adalah melaksanakan set langkah dasar yang menyeluruh bagi menangani lonjakan harga bahan api fosil import, selaras dengan matlamat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api itu,” katanya.
Beliau turut mengakui yang kerajaan mempunyai ruang fiskal yang terhad susulan kejutan ekonomi sebelum ini serta peningkatan keperluan perbelanjaan pertahanan.
Dombrovskis berkata EU sedang menyelaras rapat dengan rakan antarabangsa dan beliau akan menyertai mesyuarat bersama menteri kewangan dan tenaga G7 pada Isnin bagi membincangkan impak global serta tindak balas dasar.
-- BERNAMA-XINHUA
* Stagflasi: Keadaan ekonomi yang berdepan gabungan faktor pertumbuhan perlahan, pengangguran tinggi dan inflasi tinggi.