Skip to main content

Dunia

Kes ebola meningkat, ketua WHO bertemu rakan kerjasama kemanusiaan di Congo

Director-General of the World Health Organisation (WHO) Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus arrives at N'djili International Airport in Kinshasa, Democratic Republic of Congo, May 28, 2026. REUTERS/Arsene Mpiana
Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa N’djili di Kinshasa, Republik Demokratik Congo. - Foto REUTERS

KIGALI: Sekurang-kurangnya 134 kes ebola disahkan dalam wabak yang kini melanda Republik Demokratik Congo dan Uganda, menurut laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.

Laporan itu menunjukkan kes berkenaan termasuk sembilan di Uganda dan seorang doktor dari Amerika Syarikat (AS) yang merawat pesakit di Congo dan kini menerima rawatan di Jerman.

Kematian akibat ebola berjumlah 18 antara kes yang disahkan di kedua-dua negara itu, menurut laporan berkenaan.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus bertemu rakan kerjasama kesihatan dan kemanusiaan beroperasi di Congo untuk membincangkan tindak balas terhadap wabak yang berpunca daripada virus Bundibugyo di timur negara itu.

“Kami semua bersetuju mengenai kepentingan penyelarasan dan kerjasama yang diperkukuh dalam kalangan semua rakan kerjasama, dalam menyokong kerajaan dan komuniti di Wilayah Ituri, yang paling terjejas oleh wabak itu," tulis Tedros di X selepas mesyuarat itu.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Congo, kes baharu yang disyaki terus didaftarkan dengan jumlah kumulatif lebih 1,000 direkodkan sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei.

“Kami turut membincangkan kelebihan bekerja dengan rangkaian komuniti, daripada kumpulan agama, perniagaan dan wanita, kepada pengaruh radio dan media sosial, untuk menyampaikan mesej yang berkesan kepada penduduk tempatan bagi membina kepercayaan terhadap langkah-langkah yang boleh melindungi semua orang daripada virus dan membantu membendung penyebarannya,” tambah Tedros, yang tiba pada Khamis di Congo.

 

 

Strain Ebola Bundibugyo, tertumpu di tiga wilayah Congo timur termasuk Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan, mempunyai kadar kematian antara 30 peratus dan 50 peratus dalam kalangan kes yang disahkan, menurut WHO.

Pihak berkuasa menyebut pengesanan kenalan dan maklum balas susulan, rasa tidak selamat, pengasingan tidak mencukupi, penjagaan dan sistem rujukan untuk pesakit antara cabaran yang merumitkan usaha tindak balas.

Sejak bermulanya wabak itu, pihak berkuasa kesihatan melaporkan seorang kakitangan makmal berusia 32 tahun yang dijangkiti Ebola adalah yang pertama sembuh dan dibenarkan pulang selepas rawatan di Hospital Rwampara di wilayah Ituri.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement