JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor disahkan akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran terbaharu di laman sosial hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum pandangan, suara, harapan rakyat dan kepimpinan akar umbi UMNO dan BN Johor.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, keputusan itu juga diambil selepas berbincang dengan pucuk kepimpinan parti.
"Saya dengan rasa penuh insaf dan tanggungjawab menyatakan bahawa Barisan Nasional Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
"Bagi UMNO dan Barisan Nasional Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor," katanya.
Sebelum ini, khabar angin mengenai PRN Johor bertiup kencang namun sehingga kini tiada tarikh ditetapkan.
Penggal pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dijadual berakhir pada April 2027.
Pada tahun lalu, Onn Hafiz pernah menegaskan PRN Johor tidak akan diadakan lebih awal bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri.