TRIPOLI: Kerajaan Libya yang diiktiraf antarabangsa, Kerajaan Perpaduan Nasional (GNU) Libya, pada Khamis mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan 13 kementerian, bertujuan mengisi kekosongan jawatan serta meningkatkan prestasi pentadbiran, lapor Xinhua.
Langkah itu dibuat susulan kenyataan bersama oleh Ketua Majlis Presiden, Mohamed Al-Menfi, Ketua Majlis Tinggi Negara Mohamed Takala dan Perdana Menteri Abdulhamid Dbeibah di ibu pejabat kerajaan di Tripoli.
Kenyataan itu menyatakan sokongan terhadap usaha Perdana Menteri untuk menyusun semula Kabinet dan mengisi jawatan yang kosong.
Kesepakatan ini dilihat sebagai perubahan pendirian selepas pada awal Mac, Al-Menfi secara terbuka menolak rombakan itu dengan melabelkan pentadbiran Dbeibah sebagai “kerajaan sementara” yang mempunyai kuasa terhad untuk melakukan penyusunan semula.
Dalam siaran langsung di platform “Hukumatuna”, Al-Menfi dan Takala memuji Dbeibah kerana mengambil kira pandangan nasional dan institusi, sambil menyatakan perubahan itu bertujuan mengekalkan kesinambungan institusi negara serta meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan.
Rombakan itu melibatkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Migran, antara lain.
Dbeibah berkata, perubahan itu bertujuan memperkukuh kestabilan pentadbiran dan tadbir urus kewangan, sambil menegaskan yang kerajaannya akan terus menjalankan tugas sehingga proses pilihan raya negara selesai.
Sejak kejatuhan Muammar Gaddafi pada 2011, Libya terbahagi antara GNU yang berpangkalan di Tripoli pimpinan Dbeibah dan pentadbiran timur yang dilantik oleh Dewan Perwakilan dan diketuai oleh Osama Hammad.
Suruhanjaya Pilihan Raya Nasional Tinggi Libya menyatakan pada akhir tahun lepas Pilihan Raya Presiden dijadualkan pada April 2026.
--BERNAMA-XINHUA