RIYADH: Health Holding Company dan Arab National Bank (anb) melancarkan edisi kedua kempen “Haji Sihat” bagi jemaah domestik yang bertujuan meningkatkan tahap kesihatan dan keselamatan mereka, memperkukuh kesedaran kesihatan serta memudahkan akses kepada perkhidmatan perubatan sepanjang musim haji 1447 Hijrah.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), kempen itu menyasarkan lebih 160,000 jemaah dari seluruh Arab Saudi dengan menawarkan pemeriksaan penjagaan primer sebelum haji, saringan klinikal dan makmal, mesej kesedaran kesihatan, pemberian ubat penyakit kronik serta peranti pemantauan kendiri bagi pesakit diabetes, selain kit kecemasan.
Edisi pertama yang dilancarkan tahun lalu sempena musim haji 1446 Hijrah memberi manfaat kepada lebih 123,000 jemaah dan melaksanakan lebih 224,000 saringan menerusi pemantauan kesihatan bersepadu serta lawatan lapangan di tanah suci.
Kempen itu menyokong Model Penjagaan Kesihatan Saudi dan Program Transformasi Sektor Kesihatan di bawah Visi 2030 Arab Saudi.
-- BERNAMA-SPA