Skip to main content

Dunia

Kemboja capai sasaran HIV 2025 - Menteri Kesihatan

81638409011_HIV.jpg
Kemboja mempunyai kira-kira 76,000 individu yang hidup dengan HIV/AIDS, menurut laporan Kementerian Kesihatan 2025. - Gambar hiasan

PHNOM PENH: Kemboja mencapai sasaran rawatan HIV 95-95-95 tahun lepas, dan menuju matlamat untuk menghapuskan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030, kata Menteri Kesihatan negara itu Chheang Ra, lapor Xinhua.

Sasaran itu bermakna 95 peratus individu yang hidup dengan HIV mengetahui status HIV mereka, 95 peratus individu yang mengetahui mereka hidup dengan HIV sedang menjalani rawatan antiretroviral yang menyelamatkan nyawa, dan 95 peratus individu yang sedang menjalani rawatan itu berjaya mengawal virus.

HIV ialah virus yang menyebabkan AIDS.

Chheang Ra mengumumkan pencapaian itu dalam pertemuan dengan Patricia Ongpin, pengarah negara UNAIDS untuk Kemboja, Laos dan Malaysia, di Phnom Penh pada Jumaat, menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan yang dikeluarkan lewat Jumaat.

“Mencapai sasaran 95-95-95 ialah bukti jelas kemajuan dan keberkesanan Program AIDS Kebangsaan Kemboja," katanya.

"Ia menunjukkan Kemboja berada pada landasan yang kukuh ke arah menamatkan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030."

Menteri menambah negara itu akan terus mengintegrasikan pencegahan, ujian dan rawatan HIV ke dalam sistem kesihatannya dan memperluas profilaksis prapendedahan dan perkhidmatan ujian kendiri, sambil meningkatkan kelestarian pembiayaan untuk program AIDS.

Ongpin mengucapkan tahniah kepada Kemboja atas kemajuan luar biasa dalam tindak balas AIDSnya, berkata UNAIDS akan bersedia untuk mengesahkan secara rasmi dan mengiktiraf pencapaian negara bagi sasaran 95-95-95 tersebut, selaras dengan piawaian antarabangsa.

Kemboja mempunyai kira-kira 76,000 individu yang hidup dengan HIV/AIDS, menurut laporan Kementerian Kesihatan 2025.

Laporan itu menyatakan hampir 700 kematian berkaitan AIDS dan kira-kira 1,200 jangkitan HIV baharu direkodkan tahun lepas.

-- BERNAMA-XINHUA 

 

Must Watch Video

Advertisement