GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga Myanmar ditemukan maut dalam kebakaran sebuah pusat hiburan di Jalan Penang di sini pada Sabtu.
Mangsa, Mohamad Boshi Sabi Ullah, 56 yang merupakan pekerja pusat hiburan berkenaan ditemukan berhampiran pintu masuk hadapan premis sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.50 malam membabitkan sebuah pusat hiburan yang terletak di Bangunan Odeon.
Menurutnya, jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai tiba di lokasi pada jam 9 malam dengan operasi pemadaman segera dilaksanakan.
“Operasi melibatkan sebuah premis pusat hiburan kelas A dua tingkat dengan anggaran keluasan bangunan 50 x 300 kaki persegi dan kebakaran menyebabkan kira-kira 70 peratus kemusnahan.
“Pada jam 10.23 malam, seorang mangsa lelaki ditemukan berhampiran pintu masuk hadapan premis namun disahkan telah meninggal dunia dengan melecur tahap satu," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau menambah, operasi pemadaman diketuai seorang komander selain turut membabitkan bantuan daripada beberapa balai bomba lain termasuk BBP Jalan Perak, BBP Bayan Baru serta BBP Paya Terubong.
Menurutnya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menggunakan peralatan perlindungan diri lengkap dan mengaplikasikan konsep RECEO bagi melaksanakan kerja pengawalan serta pemadaman.
“Operasi dibahagikan kepada empat sektor dengan strategi secara ofensif dan defensif dilaksanakan selain kerja ventilasi dilakukan bagi mengeluarkan asap yang terperangkap di dalam premis.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.22 malam sebelum kerja-kerja 'overhaul' dijalankan bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi,” katanya.
Tambah beliau, Pos Kawalan Bomba (PKB) turut diaktifkan di lokasi bagi menyelaras operasi yang masih diteruskan sehingga awal pagi Ahad.
"Operasi berkenaan melibatkan seramai 38 anggota termasuk penyelia dengan kekuatan logistik terdiri daripada sebuah LFRT BBP Lebuh Pantai, sebuah FRT, sebuah EMRS, sebuah ALP serta beberapa jentera bantuan lain.
"Operasi turut mendapat bantuan daripada beberapa agensi termasuk polis, KKM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," ujarnya.
Selain itu, Mohamad Shoki berkata, beberapa Pasukan Bomba Sukarela (PBS) turut membantu operasi termasuk PBS Bukit Bendera, Mount Erskine, Paya Terubong, Kampung Cross Street dan Perak Lane.
“Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan dan maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. - Sinar Harian