Skip to main content

Dunia

Kekejaman Zionis: Israel lulus hukuman mati terhadap rakyat Palestin

Israel's far-right National Security Minister Itamar Ben-Gvir celebrates after Israel's parliament passed a law on Monday making the death penalty a default sentence for Palestinians convicted in military courts of deadly attacks, at the Knesset, Israel’s parliament in Jerusalem, March 30, 2026 REUTERS/Oren Ben Hakoon ISRAEL OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN ISRAEL TPX IMAGES OF THE DAY
Itamar Ben-Gvir bersorak kegembiraan selepas Parlimen Israel meluluskan undang-undang yang menjadikan hukuman mati sebagai hukuman lalai terhadap rakyat Palestin yang disabitkan kesalahan serangan maut di mahkamah tentera, di Knesset, Parlimen Israel di Baitulmaqdis, pada 30 Mac. - Gambar Reuters

TEL AVIV: Parlimen Israel, Knesset, meluluskan satu undang-undang baharu yang menetapkan hukuman mati sebagai hukuman tetap terhadap rakyat Palestin yang disabitkan kesalahan melakukan serangan maut di mahkamah tentera.

Undang-undang tersebut memenuhi janji parti sekutu sayap kanan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, namun turut mencetuskan kecaman meluas daripada masyarakat antarabangsa.

Peruntukan baharu itu menetapkan hukuman gantung dalam tempoh 90 hari selepas sabitan, dengan ruang penangguhan yang sangat terhad dan tanpa hak pengampunan. 

Bagaimanapun, terdapat pilihan alternatif berupa hukuman penjara seumur hidup.

Israel sebelum ini telah memansuhkan hukuman mati bagi kes pembunuhan pada tahun 1954. 

Satu-satunya individu yang pernah dihukum mati selepas perbicaraan sivil ialah Adolf Eichmann pada tahun 1962, pegawai Nazi yang terlibat dalam Holocaust.

Walaupun mahkamah tentera Israel di Tebing Barat sebenarnya mempunyai kuasa menjatuhkan hukuman mati ke atas pesalah Palestin, hukuman sedemikian tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

Undang-undang itu dipelopori oleh Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, yang terkenal dengan pendirian keras terhadap rakyat Palestin. 

Beliau menyifatkan kelulusan tersebut sebagai “hari keadilan” dan memberi amaran bahawa sesiapa yang memilih keganasan “memilih kematian.”

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, mengecam undang-undang berkenaan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa serta menggambarkannya sebagai usaha terdesak untuk menakut-nakutkan rakyat Palestin. 

Dalam satu kenyataan, pejabat beliau menegaskan, langkah itu tidak akan mematahkan semangat rakyat Palestin untuk terus memperjuangkan kebebasan, kemerdekaan dan penubuhan negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Sementara itu, kumpulan pejuang Palestin termasuk Hamas dan Islamic Jihad menggesa tindakan balas sebagai reaksi terhadap undang-undang tersebut.

Undang-undang berkenaan diluluskan dengan sokongan 62 daripada 120 ahli Knesset, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sekutu Barat Israel. - Agensi

Must Watch Video