Skip to main content

Dunia

Keganasan pasca pilihan raya cetus kematian, kebakaran di India

India's ruling Bharatiya Janata Party (BJP) supporters celebrate their party leading in the West Bengal state assembly elections, outside the party's regional office in Kolkata, India, May 4, 2026. REUTERS/Sahiba Chawdhary REFILE - CORRECTING FROM "CELEBRATE THEIR PARTY'S WIN" TO "CELEBRATE THEIR PARTY LEADING".
Penyokong BJP meraikan kejayaan parti mereka pada pilihan raya negeri Bengal Barat, di Kolkata, India, 4 Mei 2026. REUTERS

HYDERABAD: Gelombang keganasan melanda negeri Bengal Barat di India susulan pengumuman keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri minggu ini.

Parti pemerintah negeri itu, All India Trinamool Congress (TMC) yang tewas kepada Bharatiya Janata Party (BJP) memaklumkan pada Rabu bahawa tiga pekerjanya terbunuh dalam insiden keganasan sepanjang tiga hari lalu.

Sementara itu, pembantu kepada pemimpin kanan BJP negeri, Suvendu Adhikari, iaitu Chandranath Rath maut ditembak individu tidak dikenali di Madhyamgram berhampiran bandar Kolkata lewat Rabu.

Banyak insiden kebakaran dan serangan kumpulan perusuh di seluruh negeri dilaporkan sejak keputusan pilihan raya diumumkan pada Isnin.

BJP mencatat kemenangan besar menewaskan Trinamool Congress pimpinan Ketua Menteri tiga penggal, Mamata Banerjee.

Banerjee mendakwa partinya kalah “bukan kerana mandat rakyat tetapi akibat konspirasi” dan enggan meletak jawatan sebagai ketua menteri sebagai tanda bantahan simbolik.

Beliau turut menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya bertindak secara tidak adil dan bercadang memfailkan cabaran di mahkamah terhadap keputusan pilihan raya itu.

BJP memenangi 207 kerusi daripada keseluruhan 294 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala TMC memperoleh 80 kerusi.

Sementara itu, persiapan sedang dijalankan di Kolkata bagi majlis angkat sumpah kerajaan baharu BJP pada Sabtu.

Ini merupakan kali pertama parti nasionalis Hindu itu mentadbir negeri yang bersempadan dengan Bangladesh berkenaan.

Bengal Barat ialah negeri keempat paling ramai penduduk di India dengan kira-kira 100 juta penduduk.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video