ANGKATAN Tentera Repulik Islam Iran (Artesh) menantikan ketibaan Tentera Amerika Syarikat (AS) melalui Operasi Darat seperti yang dilaporkan media barat.
Jurucakap Markas Pusat Khatam al-Anbiya, Brigedier Jeneral Ebrahim Zolfaghari menyifatkan Artesh ibarat 'jerung' Teluk Parsi bersedia membaham seterunya yang telah mula melancarkan serangan udara sejak 28 Feb lalu.
“Tentera Islam telah lama menanti sebarang tindakan pencerobohan atau pendudukan wilayah Iran, mana-mana pencerobohan hanya akan membawa kehancuran, penghinaan, dan kematian bagi mereka.
“Sementara komander dan tentera AS akan mudah menjadi mangsa untuk jerung di Teluk Parsi,” katanya melalui kenyataan video yang disiarkan oleh agensi berita Mehr News hari ini.
Zolfaghari mendakwa tindakan Trump, berulang kali mengugut Iran dengan operasi darat dan pendudukan beberapa pulau di Teluk Parsi adalah akibat desakan organisasi perisikan Israel, Mossad yang membangkitkan mengenai kes Epstein.
“Beliau (Trump) kini menjadi alat Perdana Menteri Israel (Benjamin Netanyahu) untuk menyerang Iran,” katanya.
Beliau turut menyatakan tentera AS terpaksa berdepan risiko maut hampir setiap hari akibat serangan Iran di pangkalan negara-negara Teluk.
Zolfaghari turut membidas sikap Trump yang disifatkannya tidak stabil dan tidak konsisten apabila menimbulkan soal rundingan pada sebelah pagi namun melancarkan serangan terhadap Iran beberapa jam kemudian.
“Individu tidak stabil dan pembohong ini telah menimbulkan kerosakan besar kepada rakyat Amerika, Eropah, dan seluruh dunia, terutamanya negara Asia Barat,” katanya.
Pada masa sama, Zolfaghari turut menyarankan agar pentadbiran AS mempelajari sejarah Iran dalam menghadapi penceroboh.
“Jangan heret tentera AS ke dalam perangkap maut yang mengakibatkan warganya akan bersedih,” katanya lagi.
Terdahulu media melaporkan, Pentagon sedang mempersiapkan anggota tentera AS untuk serangan darat yang dijangka akan dijalankan dalam tempoh yang panjang untuk menawan Tehran.