TOKYO: Jepun berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan kebimbangan berlakunya gempa bumi “berskala besar” dalam tempoh seminggu akan datang, selepas satu gempa bermagnitud 7.7 melanda perairan luar pantai timur laut negara itu pada Isnin.
Gempa yang berlaku di perairan luar Wilayah Iwate, kira-kira 530 kilometer dari Tokyo, mencetuskan amaran tsunami serta arahan pemindahan penduduk di kawasan pantai ke tempat lebih tinggi, dengan jangkaan ombak setinggi sehingga tiga meter.
Walaupun ombak tertinggi yang direkodkan hanya sekitar 80 sentimeter, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memberi amaran bahawa gempa susulan dengan gegaran lebih kuat berpotensi berlaku dalam masa terdekat.
Agensi itu turut menyatakan risiko gempa bermagnitud 8.0 atau lebih kini “lebih tinggi daripada biasa”.
Amaran tsunami dikenakan di sepanjang sebahagian pantai timur Pulau Honshu dan wilayah Hokkaido, dengan gegaran turut dirasai sehingga ke Tokyo.
Amaran tersebut kemudiannya diturunkan ke tahap lebih rendah sebelum ditarik balik sepenuhnya menjelang tengah malam waktu tempatan.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Minoru Kihara, berkata beberapa perkhidmatan kereta api laju terjejas dan kira-kira 100 rumah mengalami gangguan bekalan elektrik, namun tiada laporan awal mengenai kerosakan besar atau kecederaan.
Jepun sering dilanda gempa bumi berikutan kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik dan kekal trauma akibat bencana besar pada 2011, apabila gempa bermagnitud 9.0 dan tsunami meragut lebih 18,000 nyawa serta mencetuskan krisis nuklear Fukushima.
Pihak berkuasa terus menggesa orang ramai supaya kekal peka dan mematuhi arahan keselamatan.