TOKYO: Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi pada Ahad memberi petunjuk mengenai kemungkinan pengerahan pasukan pertahanan (SDF) negara itu bagi operasi pembersihan periuk api di Selat Hormuz, dengan syarat gencatan senjata dicapai dalam konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, lapor Kyodo News.
“Teknologi pembersihan periuk api Jepun berada pada tahap tertinggi di dunia,” kata Motegi dalam satu program televisyen.
“Katakanlah (pihak-pihak terlibat telah mencapai) gencatan senjata, dan sekiranya periuk api menjadi halangan, kita mungkin perlu mempertimbangkannya,” tambahnya merujuk kepada kemungkinan pengerahan SDF.
Motegi, yang turut hadir dalam rundingan sidang kemuncak Jepun-AS di Washington pada Khamis lalu, berkata beliau mengingati bagaimana Presiden AS Donald Trump mengangguk ketika Perdana Menteri Sanae Takaichi menjelaskan batasan undang-undang Jepun dalam menghantar kapal tentera pertahanan.
Menteri luar itu berkata tiada “janji khusus” dibuat dan tiada isu yang perlu dibawa pulang untuk dipertimbangkan.
Konflik berkenaan telah berkembang menjadi krisis yang memberi implikasi lebih luas terhadap kestabilan Asia Barat dan bekalan tenaga global sejak serangan udara AS dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb.
Jepun bergantung kepada rantau itu untuk lebih 90 peratus import minyak mentahnya, yang kebanyakannya melalui selat tersebut.
Motegi secara berasingan berkata seorang daripada dua warga Jepun yang ditahan di Iran telah dibebaskan. Individu itu dibebaskan pada Rabu lalu dan menaiki penerbangan dari Azerbaijan ke Jepun, menurut menteri luar itu.
Kementerian Luar Jepun berkata individu berkenaan, yang ditahan sejak Jun, telah tiba di Jepun pada Ahad dan berada dalam keadaan sihat.
“Kami sedang berusaha ke arah pembebasan awal individu seorang lagi,” kata Motegi.
Sebuah organisasi bukan kerajaan berkata seorang lagi warga Jepun itu ialah ketua biro Tehran bagi penyiar awam NHK, yang ditahan pada 20 Jan oleh pihak berkuasa tempatan.
Kerajaan Jepun sebelum ini memaklumkan awal bulan ini bahawa dua warga Jepun ditahan dan telah meminta pembebasan segera mereka.
-- BERNAMA-KYODO