TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, memaklumkan Parlimen pada Rabu bahawa beliau akan membincangkan pembangunan bersama nadir bumi laut dalam dengan Amerika Syarikat (AS) dalam pertemuan dengan Presiden Donald Trump minggu ini.
Langkah strategik itu menyusul kejayaan Tokyo memperoleh sedimen mengandungi nadir bumi dari kedalaman 6,000 meter berhampiran pulau terpencil Minamitorishima dalam misi ujian bulan lalu.
Nadir bumi merangkumi 17 logam kritikal yang digunakan secara meluas dalam teknologi tinggi seperti kenderaan elektrik, cakera keras komputer dan sistem peluru berpandu.
Takaichi berkata perbincangan konkrit mengenai kerjasama pembangunan sumber mineral marin telah bermula sejak Februari, susulan lawatan Trump ke Jepun pada Oktober tahun lepas.
“Nadir bumi di perairan sekitar Minamitorishima merupakan salah satu sasaran usaha ini dan saya menjangkakan perkara tersebut akan dibangkitkan dalam sidang kemuncak Jepun-AS yang dijadual berlangsung Khamis,” katanya.
Kerjasama itu dilihat sebagai usaha terbaharu Tokyo dan Washington mengurangkan pergantungan rantaian bekalan terhadap China, yang kini mendominasi pasaran mineral berharga berkenaan.
Kebimbangan Jepun semakin meningkat selepas Beijing menyekat eksport barangan “dwifungsi” kepada Tokyo berikutan kenyataan Takaichi mengenai kemungkinan tindak balas ketenteraan sekiranya Taiwan diserang.
Misi pengumpulan sedimen berkenaan dijalankan oleh kapal gerudi saintifik laut dalam Chikyu, yang berlepas ke Minamitorishima pada Januari untuk menerokai kawasan perairan yang dipercayai menyimpan sumber mineral strategik.
Perkembangan ini turut selari dengan pelancaran perkongsian mineral kritikal antara AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun di Washington bulan lalu, dalam usaha mengekang dominasi geopolitik China dalam sektor berkenaan. [straitstimes.com]