Skip to main content

Dunia

Israel, Lubnan dijangka adakan rundingan selepas dua minggu pertempuran

FILE PHOTO: Damaged vehicles and buildings, after a projectile was launched towards Israel from the Iran-backed Hezbollah in Lebanon, following an escalation between Hezbollah and Israel amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in northern Israel, March 14, 2026. REUTERS/Avi Ohayon/File Photo
Kenderaan dan bangunan yang rosak selepas sebuah peluru berpandu dilancarkan ke arah Israel oleh Hezbollah. - Gambar Reuters

BAITULMAQDIS/BEIRUT: Pegawai Israel memaklumkan bahawa Israel dan Lebanon dijangka mengadakan rundingan dalam masa terdekat selepas hampir dua minggu pertempuran sengit antara Israel dan kumpulan bersenjata Hezbollah.

Menurut laporan media Israel yang memetik sumber rasmi, rundingan itu bertujuan mencapai gencatan senjata lebih berkekalan serta menangani isu keselamatan di sempadan, termasuk kemungkinan usaha melucutkan senjata Hezbollah.

Beberapa pegawai Lubnan berkata, Beirut kini sedang membentuk delegasi untuk menghadiri rundingan tersebut, namun tarikh dan format perbincangan masih belum diputuskan.

Kerajaan Lubnan juga menegaskan bahawa sebarang rundingan hanya boleh berlaku sekiranya terdapat jaminan gencatan senjata penuh terlebih dahulu, seperti yang dinyatakan oleh Presiden Joseph Aoun.

Pertempuran antara Israel dan Hezbollah kembali memuncak sejak awal Mac apabila Hezbollah melancarkan serangan roket ke Israel, yang kemudiannya dibalas dengan operasi ketenteraan Israel di Lubnan. 

Konflik itu dilaporkan telah mengorbankan lebih 800 orang di Lubnan dan memaksa ratusan ribu penduduk meninggalkan rumah mereka.

Walaupun terdapat laporan mengenai kemungkinan rundingan, Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar dilaporkan menafikan bahawa rundingan langsung sudah dirancang, menandakan situasi diplomatik masih tidak menentu ketika pertempuran berterusan. - Agensi

Must Watch Video