SEOUL: Israel membebaskan dua rakyat Korea Selatan yang ditahan ketika menuju ke Semenanjung Gaza menaiki kapal bantuan kemanusiaan, menurut pejabat presiden pada Khamis sambil mengalu-alukan pembebasan mereka, lapor Agensi Berita Yonhap.
Jurucakap presiden, Kang Yu-jung mengumumkan pembebasan itu dalam sidang media, sehari selepas kapal Lina Al Nabulsi yang membawa aktivis Korea Selatan Kim Ah-hyun dan aktivis Amerika keturunan Korea Jonathan Victor Lee dipintas tentera Israel di perairan berhampiran Semenanjung Gaza.
Dua hari sebelum itu, tentera Israel merampas sebuah lagi kapal bantuan, Kyriakos X, yang membawa aktivis Korea Selatan Kim Dong-hyeon bersama aktivis lain dari seluruh dunia.
“Pihak Israel segera mengusir kedua-dua rakyat Korea Selatan itu tanpa menempatkan mereka di pusat tahanan,” kata Kang.
Bagaimanapun, jurucakap itu tetap menyuarakan rasa "kesal" terhadap tindakan awal Israel menahan kedua-dua rakyat Korea Selatan berkenaan.
“Kerajaan Lee Jae Myung menyatakan kekesalan mendalam terhadap tindakan Israel menahan rakyat kami ketika rampasan kapal. Bagaimanapun, kami amat menghargai tindakan Israel membebaskan segera rakyat kami dan mengalu-alukan keputusan itu,” kata Kang.
Pembebasan mereka berlaku selepas Presiden Lee Jae Myung menuduh Israel melanggar peraturan antarabangsa berkaitan dalam kritikan terbuka yang jarang dilontarkan terhadap kuasa asing dan pemimpinnya.
Dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu, presiden Korea Selatan itu berulang kali menegaskan bahawa kapal berkenaan tidak berada di perairan wilayah Israel ketika dirampas, sambil menyifatkan tindakan negara itu sebagai “melampaui batas” kerana menahan rakyat Korea Selatan yang dilihat tidak melanggar sebarang peraturan antarabangsa.
Kang berkata sejak kenyataan Lee dibuat, kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan bantuan konsular dan tindak balas diplomatik, sekali gus membantu mendapatkan pembebasan rakyat Korea Selatan oleh Israel.
Jurucakap presiden itu berkata kerajaan akan mengambil langkah berprinsip dan bertanggungjawab, selain meneruskan komunikasi diplomatik dengan negara berkaitan bagi memastikan keselamatan rakyatnya.
Beliau turut menyuarakan harapan agar insiden terbaharu itu tidak menjejaskan hubungan antara Korea Selatan dan Israel serta hubungan dua hala akan terus diperkukuh.
-- BERNAMA-YONHAP