ISTANBUL: Iraq mengumumkan pada Sabtu bahawa pergerakan perdagangan dan penumpang di pintu sempadan Shalamcheh dengan Iran digantung selepas serangan di pihak Iran yang meragut nyawa seorang rakyat Iraq, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Agensi Berita rasmi Iraq (INA).
Serangan itu turut mencederakan lima rakyat Iraq, kata Leftenan Jeneral Omar Al-Waeli, ketua Pihak Berkuasa Pelabuhan Sempadan.
Mereka yang cedera dipindahkan ke hospital di Iran, kata Al-Waeli.
Beliau berkata terdapat laluan alternatif untuk membawa masuk barangan ke dalam negara, termasuk pintu sempadan Safwan serta pelabuhan darat lain di beberapa wilayah yang masih beroperasi bagi memastikan aliran barangan dan bekalan tidak terjejas.
Terdahulu, terminal perdagangan sempadan Shalamcheh di Iran menjadi sasaran serangan AS-Israel.
Ketegangan di rantau itu semakin meningkat sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb, yang setakat ini meragut nyawa lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Tehran pula bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
-- BERNAMA-ANADOLU