ISTANBUL: Pihak berkuasa Iran pada Isnin melaksanakan hukuman mati ke atas dua individu kerana didakwa mempunyai kaitan dengan “rangkaian pengintip” yang berhubung dengan agensi perisikan Israel, Mossad, lapor Anadolu Ajansi yang memetik stesen penyiar tempatan.
Suspek didapati bersalah kerana menjalani latihan lanjutan, termasuk dalam komunikasi selamat, membantu mengenal pasti lokasi sensitif serta menghasilkan bahan letupan, menurut laporan stesen penyiar negara Iran, IRIB.
Mereka juga dituduh membakar kemudahan tentera dan lokasi awam serta menghantar rakaman kejadian itu kepada pengendali sebagai pertukaran untuk bayaran dalam bentuk mata wang kripto.
Pelaksanaan hukuman mati ini berlaku ketika ratusan rakyat Iran ditahan atas tuduhan bekerjasama “dengan musuh” sejak bermulanya perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran, yang mengorbankan lebih 3,300 nyawa sejak 28 Feb.
Sebagai tindak balas terhadap serangan, Tehran melancarkan serangan balas ke atas Israel dan beberapa negara serantau lain yang menempatkan aset AS.
Gencatan senjata selama dua minggu antara Washington dan Tehran, yang dimediasi oleh Pakistan, diumumkan pada 8 April.
Kedua-dua pihak juga mengadakan rundingan di ibu negara Pakistan, Islamabad, yang berakhir tanpa persetujuan pada 12 April, dengan usaha untuk mengadakan rundingan pusingan seterusnya masih diteruskan.
-- BERNAMA-ANADOLU