VIENNA: Iran menggesa satu sesi khas Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara itu pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Permintaan untuk mengadakan mesyuarat lembaga gabenor IAEA itu, yang disiarkan dalam satu kenyataan di X, tidak menyatakan sama ada kemudahan nuklear Iran sekali lagi menjadi sasaran dalam serangan ketenteraan terbaharu itu, seperti yang berlaku tahun lalu.
Wakil Tetap Iran ke PBB bagaimanapun menyebut mengenai "ancaman" terhadap kemudahan nuklear yang perlu dibincangkan oleh Lembaga IAEA.
Hantaran daripada IAEA, tidak lama selepas permintaan Iran itu, menyatakan bahawa agensi PBB berkenaan "setakat ini tidak mempunyai bukti sebarang kesan radiologi."
Ia akan terus memantau sebarang risiko keselamatan nuklear di rantau itu dan menggesa semua pihak supaya mengawal diri. Agensi itu "sentiasa berhubung dengan negara di rantau berkenaan," katanya.
Mesyuarat musim bunga tetap lembaga gabenor IAEA dijadual bermula di Vienna pada Isnin.
Rundingan teknikal dengan Iran juga dirancang berlangsung di Vienna minggu depan sebagai kesinambungan rundingan nuklear baru-baru ini dengan AS di Geneva - namun itu sebelum serangan pada Sabtu.
-- BERNAMA-dpa