TEHRAN: Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, mengecam sikap acuh tidak acuh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berhubung serangan bertubi‑tubi oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang didakwa menyasarkan fasiliti nuklear Iran.
Dalam kenyataan yang dipetik agensi berita separa rasmi Tasnim, Esmaeil Baghaei menyifatkan tindakan ketenteraan terhadap infrastruktur nuklear negara itu sebagai satu bentuk jenayah yang tidak boleh diterima, sambil menuduh IAEA gagal menjalankan peranan berkecuali sebagaimana diharapkan.
Beliau turut menyelar Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi, yang didakwa menggunakan kenyataan “mengelirukan” dalam temu bual media antarabangsa sehingga merumitkan keadaan dan menghakis keyakinan Tehran terhadap badan pengawas nuklear dunia itu.
Esmaeil Baghaei menegaskan bahawa IAEA seharusnya memainkan peranan sebagai organisasi bebas, namun kini menurut beliau “kehilangan sifat berkecuali” serta memberi ruang kepada naratif yang dijadikan alasan untuk tindakan agresif terhadap Iran.
Iran sebelum ini telah beberapa kali memberi amaran bahawa serangan ke atas tapak nuklear bukan sahaja mencabuli kedaulatan negara, tetapi berpotensi membawa risiko alam sekitar serius kepada rantau Asia Barat.
Kecaman terbaharu ini muncul ketika hubungan di antara Tehran dan agensi berpangkalan di Vienna itu semakin tegang, susulan laporan bahawa beberapa tapak sensitif menjadi sasaran serangan sejak konflik serantau memuncak pada akhir Februari lalu.
Setakat ini, IAEA belum mengeluarkan maklum balas rasmi terhadap kritikan terbuka yang dilemparkan kepadanya oleh pihak Kementerian Luar Iran.