Skip to main content

Dunia

Iran beri amaran serang mana-mana kapal yang cuba melalui Selat Hormuz

Hormuz amid the US-Israeli conflict with Iran
Sekitar 20 peratus penggunaan minyak dunia sehari melalui Selat Hormuz, yang hanya sekitar 33km pada titik tersempitnya. - Gambar Reuters

KAHERAH: Seorang pegawai kanan Pengawal Revolusi Iran menegaskan, Selat Hormuz kini ditutup dan Iran akan melepaskan tembakan ke arah mana-mana kapal yang cuba melaluinya, lapor media Iran pada Isnin.

Ini merupakan amaran paling tegas Iran sejak memaklumkan penutupan laluan eksport tersebut pada Sabtu, satu langkah yang berpotensi menyekat 20 peratus aliran minyak dunia dan menyebabkan harga minyak melambung.

“Selat Hormuz ditutup. Jika sesiapa cuba melintas, wira Pengawal Revolusi dan tentera laut biasa akan membakar kapal-kapal tersebut,” kata Ebrahim Jabari, penasihat kanan kepada ketua Pengawal Revolusi, seperti dipetik oleh media kerajaan.

Selat itu merupakan laluan eksport minyak paling penting di dunia, yang menghubungkan pengeluar minyak utama Teluk - termasuk Arab Saudi, Iran, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu - dengan Teluk Oman dan Laut Arab.

Penutupan itu tercetus selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu yang bertujuan menggulingkan kepimpinannya, dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menawarkan bantuan kepada rakyat Iran untuk menyingkirkan pemerintah ulama negara itu.

Sebagai tindak balas, Iran melepaskan beberapa serangan peluru berpandu ke atas negara jiran di Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS seperti Qatar, Kuwait dan Bahrain. 

Tehran turut menembak peluru berpandu ke Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Oman.

Dengan penutupan ini, Tehran menunaikan ancaman bertahun-tahun untuk menyekat laluan sempit itu sebagai balasan terhadap sebarang serangan ke atas Republik Islam itu.

Sekitar 20 peratus penggunaan minyak dunia sehari melalui Selat Hormuz, yang hanya sekitar 33km pada titik tersempitnya.

Pasaran minyak memberi tumpuan kepada ketegangan antara Tehran dan seteru lamanya, AS dan Israel, bimbang konflik besar-besaran boleh mengganggu bekalan serta menggugat kestabilan serantau.

Langkah ini juga hadir selepas sektor perkapalan global sedia mengalami gangguan akibat serangan dron dan peluru berpandu oleh kumpulan Houthi Yemen yang disokong Iran. 

Kumpulan itu menyasarkan kapal-kapal di Laut Merah dan Teluk Aden sejak perang Gaza meletus pada 2023.

Sekitar seperlima penggunaan minyak global melalui Selat Hormuz setiap hari. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found