RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan berlaku “kebakaran terhad” di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara Riyadh selepas premis itu dipercayai diserang dua dron.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan anggaran awal, serangan melibatkan dua dron itu menyebabkan kebakaran kecil serta kerosakan material ringan pada bangunan berkenaan.
“Kedutaan AS di Riyadh telah menjadi sasaran serangan dua dron menurut anggaran awal, mengakibatkan kebakaran terhad dan kerosakan material kecil pada bangunan,” katanya.
Insiden itu sebelum ini dilaporkan Reuters sebagai satu letupan yang mencetuskan kebakaran di kompleks Kedutaan AS Riyadh.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kecederaan melibatkan kakitangan kedutaan.
Pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang dan butiran sebenar serangan tersebut.
Keadaan keselamatan di sekitar kawasan kedutaan dilaporkan terkawal.