BEIRUT: Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam pada Isnin memaklumkan kerajaannya telah mengharamkan aktiviti ketenteraan serta keselamatan Hezbollah dan mengehadkan peranan kumpulan itu kepada kerja-kerja politik sahaja, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Beliau turut mengarahkan pihak tentera untuk menguatkuasakan pelan mengehadkan pemilikan senjata di bawah kawalan negara di utara Sungai Litani.
“Negara menolak sebarang tindakan ketenteraan atau keselamatan yang dilancarkan dari wilayah Lubnan,” kata Salam dalam satu sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Istana Presiden, timur Beirut, yang dipengerusikan oleh Presiden Joseph Aoun.
Beliau berkata, Kabinet memutuskan untuk melarang sebarang operasi ketenteraan di luar “institusi negara yang sah.”
“Keputusan mengenai peperangan dan keamanan terletak secara eksklusif di tangan negara,” tegas beliau.
Salam berkata, langkah itu memerlukan pengehadan aktiviti Hezbollah dan mewajibkan kumpulan itu menyerahkan senjatanya, selain menyifatkan tindakan terbaharu kumpulan itu sebagai “pelanggaran terhadap keputusan Kabinet.”
Beliau mengarahkan pucuk pimpinan tentera Lubnan untuk melaksanakan pelan kerajaan itu dengan tegas, terutamanya peruntukan yang bertujuan menyekat pemilikan senjata di utara Sungai Litani.
Awal Isnin, Hezbollah menyatakan bahawa ia telah menyasarkan tapak ketenteraan di utara Israel dengan serangan roket dan dron sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan Israel ke atas Lubnan serta kempen ketenteraan bersama Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran.
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan siri serangan udara ke pinggir selatan Beirut dan selatan Lubnan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang dan mencedera 149 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
-- BERNAMA-ANADOLU