JAKARTA: Indonesia tidak membuat sebarang komitmen dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung akses penerbangan rentas melalui ruang udara negara itu, menurut Menteri Pertahanan republik itu, Sjafrie Sjamsoeddin pada Selasa.
Beliau berkata kedua-dua pihak hanya menandatangani Surat Hasrat Pelepasan Ruang Udara semasa lawatan beliau ke Amerika Syarikat bulan lepas, sambil menegaskan bahawa dokumen itu bukan komitmen yang mengikat dan tidak menjejaskan kedaulatan atau kepentingan nasional Indonesia.
“Ini adalah surat hasrat, bukan surat komitmen. Jadi, kami tidak bikin komitmen apa-apa dengan AS dalam hal udara, tidak.
“Kami mempertahankan konstitusi dan kami mempertahankan kita punya kepentingan nasional,” katanya semasa mesyuarat kerja dengan Suruhanjaya I Dewan Perwakilan Rakyat (DPR RI), jawatankuasa parlimen yang menyelia pertahanan, hal ehwal luar, perisikan dan komunikasi.
Menurut Agensi Berita ANTARA, Sjafrie berkata surat hasrat itu menekankan penghormatan terhadap integriti wilayah dan kedaulatan, serta mekanisme dan prosedur operasi standard mengikut undang-undang kedua-dua negara.
Beliau memberitahu ahli parlimen bahawa isu itu pertama kali dibangkitkan oleh Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth semasa mesyuarat dua hala di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Plus 2025.
Menurut menteri itu, Hegseth telah bertanya sama ada pesawat AS boleh transit di wilayah Indonesia untuk tujuan mendesak sambil mematuhi peraturan Indonesia.
Sjafrie berkata beliau memaklumkan kepada Hegseth bahawa beliau akan melaporkan perkara itu terlebih dahulu kepada Presiden Indonesia Prabowo Subianto, yang disifatkannya sebagai panglima tertinggi Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Beliau juga berkata Hegseth kemudiannya menghantar pegawai ke Indonesia pada Februari tahun ini untuk menyerahkan surat cadangan berkaitan akses ruang udara dan menjemput beliau ke AS untuk perbincangan lanjut mengenai perkara itu.
"Membahas, bukan menentukan. Kemudian, dibahas lah tim itu. Akhirnya, bulan lalu saya ke AS kemudian kami menandatangani surat hasrat, bukan komitmen," katanya.
Menteri itu juga mendedahkan bahawa AS telah meminta bantuan Indonesia untuk mengesan dan menghantar pulang rangka mayat tentera Amerika yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua di Pulau Morotai di Maluku Utara.
Sjafrie berkata Indonesia kekal komited untuk menjaga konstitusi dan kepentingan nasionalnya dalam semua kerjasama pertahanan.
Beliau berkata penjelasan itu dibuat susulan perbincangan umum mengenai isu ruang udara selepas Indonesia dan AS menandatangani perjanjian Kerjasama Perkongsian Pertahanan Utama (MDCP) pada April 2026.
-- BERNAMA