JAKARTA: Indonesia memberi jaminan bahawa harga bahan api bersubsidi akan dikekalkan pada paras semasa sehingga akhir tahun ini.
Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa berkata kerajaan mempunyai kapasiti fiskal yang mencukupi untuk meneruskan dasar berkenaan, disokong oleh pengiraan belanjawan serta penampan kewangan sedia ada.
“Harga bahan api bersubsidi tidak akan dinaikkan sehingga akhir tahun ini,” katanya dalam sidang media pada Isnin.
Harga bahan api bersubsidi di Indonesia kekal tidak berubah susulan pengumuman kerajaan pada 31 Mac lalu bahawa tiada pelarasan harga dibuat bagi April.
Petrol bersubsidi RON 90 dijual pada harga tetap Rp10,000 (RM2.37) seliter, manakala diesel bersubsidi (biosolar) dihadkan pada Rp6,800 (RM1.61) seliter, dengan kerajaan menanggung perbezaan kos.
Sebaliknya, bahan api tidak bersubsidi ditetapkan berdasarkan mekanisme pasaran, dengan Pertamax (RON 92) dijual pada sekitar Rp12,300 (RM2.91) seliter dan Pertamax Turbo (RON 98) kira-kira Rp13,100 (RM3.10) seliter bagi Mac, tertakluk kepada pelarasan berkala selaras harga minyak global, kadar pertukaran asing dan komponen kos lain.
Bagi diesel tidak bersubsidi, Dexlite ditetapkan pada Rp14,200 (RM3.36) seliter, manakala Pertamina Dex pada Rp14,500 (RM3.43) seliter.
Purbaya berkata kerajaan telah menjalankan simulasi fiskal berdasarkan andaian harga minyak mentah global sekitar US$100 setong sehingga akhir tahun, yang menunjukkan defisit belanjawan dapat dikekalkan sekitar 2.9 peratus seiring langkah pengurangan perbelanjaan dan kecekapan.
“Saya telah menjalankan simulasi menggunakan purata harga minyak global US$100 setong sehingga akhir tahun...kami dapat memastikan defisit kekal sekitar 2.9 peratus,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga mempunyai penampan kewangan kira-kira Rp420 trilion dalam lebihan belanjawan (SAL) yang boleh digunakan jika perlu.
“Kami masih mempunyai penampan kewangan sebanyak Rp420 trilion... jika terdesak, ia masih boleh digunakan,” katanya.
Purbaya turut menyatakan keyakinan bahawa harga minyak global tidak mungkin kekal tinggi untuk tempoh yang berpanjangan.
“Kemungkinan harga minyak kekal melebihi US$100 untuk tempoh yang berpanjangan adalah kecil, dan jika kita melihat situasi politik di Amerika Syarikat, perkara itu juga merupakan satu faktor. Saya ingin menegaskan perkara itu sekali lagi,” katanya.
Sementara itu, beliau menggesa orang ramai agar tidak bimbang mengenai kedudukan kewangan kerajaan.
“Orang ramai tidak perlu bimbang dan tidak seharusnya membuat spekulasi bahawa kami kehabisan wang; kami mempunyai dana yang mencukupi.
“Kedudukan kewangan kami adalah mencukupi. Setiap dasar yang dilaksanakan sememangnya mempunyai implikasi kos kepada kami, dan kami telah mengira bahawa ia masih mampu diuruskan,” katanya.
-- BERNAMA