Skip to main content

Malaysia

Peralihan tenaga kini realiti, bukan lagi agenda masa depan - TNB

Sumber: TNB
Peralihan tenaga negara bukan lagi agenda masa depan, sebaliknya perubahan yang sedang berlaku dan akan dilalui bersama seluruh rakyat Malaysia, kata Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin.

KUALA LUMPUR: Peralihan tenaga negara bukan lagi agenda masa depan, sebaliknya perubahan yang sedang berlaku dan akan dilalui bersama seluruh rakyat Malaysia, kata Ketua Pegawai Retail Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Kamal Arifin A. Rahman.

Beliau berkata, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan kini semakin dekat dengan kehidupan harian rakyat, sekali gus menjadikan peralihan tenaga suatu keperluan semasa.

“Peralihan tenaga bukan lagi pilihan, ia sedang berlaku dan kita semua akan melaluinya bersama. Dengan potensi meningkatkan taraf hidup masyarakat, peralihan tenaga mampu mewujudkan peluang baharu dan membina Malaysia yang lebih bersih, serta berdaya tahan.

“Isu tenaga hari ini juga semakin dekat dengan kehidupan seharian, daripada bil elektrik, kestabilan bekalan sehinggalah kepada kos sara hidup. Sebab itu, peralihan tenaga bukan lagi agenda masa depan semata-mata, tetapi sesuatu yang sedang berlaku sekarang,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual, baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, Kamal Arifin berkata, Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menghimpunkan kira-kira 2,000 peserta dan 80 penceramah bagi membincangkan masa hadapan tenaga yang inklusif, serta penyelesaian praktikal untuk rakyat.

Bertemakan “Energy & AI: The Synergy for Energy Transition”, beliau berkata, persidangan perdana yang diilhamkan oleh TNB itu memberikan fokus kepada tiga tonggak utama, iaitu Energy for AI, AI for Energy dan Energy Transition for People.

Kamal Arifin berkata, ETCon26 akan meneruskan momentum sejak pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) semasa ETCon2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, melalui tonggak “Energy Transition for People”, TNB mahu rakyat memahami peralihan tenaga bukan berkaitan teknologi semata-mata, tetapi perubahan yang memberikan manfaat langsung kepada kehidupan harian.

“AI bukan sekadar teknologi masa depan, tetapi ia sudah mula membantu menjadikan sistem bekalan elektrik lebih pintar, lebih stabil dan lebih cekap. Namun, yang lebih penting, kita mahu rakyat memahami manfaat teknologi ini akhirnya kembali kepada mereka sama ada melalui pengurusan bil yang lebih baik, bekalan yang lebih stabil atau peluang ekonomi baharu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kebimbangan rakyat terhadap kos dan kestabilan bekalan elektrik, Kamal Arifin berkata, TNB mengurus keseimbangan antara kelestarian, kemampuan dan sekuriti bekalan menerusi konsep “Energy Trilemma.”

Beliau berkata, TNB sedang memperluas penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro secara berperingkat supaya lebih ramai rakyat dan perniagaan di Malaysia boleh mendapat akses kepada tenaga hijau.

Pada masa yang sama, beliau berkata, program Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP), yang diperkenalkan awal tahun ini juga memberi pilihan kepada pelanggan menggunakan solusi solar atas bumbung bagi menyokong penggunaan tenaga lebih lestari.

“Kami terus memperkukuh sistem grid dan infrastruktur bekalan elektrik supaya rakyat dan industri terus menikmati bekalan yang stabil 24 jam sehari,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan tenaga hijau dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kos elektrik kekal munasabah dan mampu dinikmati rakyat.

Mengulas lanjut, Kamal Arifin berkata, NETR bukan sekadar dasar tenaga, tetapi pelan pembangunan ekonomi yang membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tenaga kerja tempatan serta generasi muda.

Beliau berkata, pembangunan tenaga boleh baharu, pemodenan grid dan teknologi tenaga pintar mewujudkan ekosistem ekonomi baharu termasuk peluang pekerjaan bernilai tinggi serta keperluan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula kemahiran (reskilling).

Antara inisiatif yang sedang dipercepat TNB termasuk Solar ATAP, Large Scale Solar (LSS), Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM), Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS), pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) dan Grid Pintar.

Beliau berkata, pembangunan modal insan turut menjadi keutamaan bagi melahirkan lebih ramai bakat dalam bidang teknologi, data, AI dan kejuruteraan hijau.

“Jadi, TNB terus menyokong pembangunan modal insan untuk membangunkan kemahiran belia Malaysia, termasuk golongan B40 agar dapat menyertai dan memimpin ekonomi hijau masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Kamal Arifin berkata, rakyat kini bukan lagi sekadar pengguna elektrik, tetapi boleh menjadi pengurus tenaga yang lebih aktif melalui penggunaan meter pintar dan aplikasi myTNB.

“Malah, lebih 85 peratus atau melebihi 7.5 juta pelanggan TNB kini menggunakan myTNB untuk mengurus dan memantau akaun mereka,” katanya.

Beliau berkata, teknologi seperti Meter Pintar, Energy Budget dalam aplikasi myTNB dan skim Time-of-Use (ToU) membolehkan pengguna memantau penggunaan elektrik serta mengurus penggunaan secara lebih strategik untuk penjimatan.

ETCon26 akan berlangsung dari 3 hingga 5 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan persidangan itu pada hari kedua.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar menerusi laman sesawang rasmi ETCon26 di www.the-etconference.com menggunakan kod promosi ETCON26BERNAMA bagi menikmati tawaran istimewa.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement