Skip to main content

Dunia

Harry, Meghan tiba di Australia untuk lawatan empat hari

MEGHAN MARKLE, NEW YORK GOVERNOR KATHY HOCHUL, PRINCE HARRY AND NEW YORK CITY MAYOR BILL DEBLASIO ARRIVING FOR PHOTO-OP AT ONE WORLD OBSERVATORY
Putera Harry dan Meghan Markle tiba di Australia untuk satu lawatan selama empat hari yang menggabungkan kunjungan ke badan-badan kebajikan dengan penglibatan peribadi yang menjana pendapatan. - Gambar Reuters

MELBOURNE: Pasangan Duke dan Duchess of Sussex, Putera Harry dan Meghan Markle tiba di Australia untuk satu lawatan selama empat hari yang menggabungkan kunjungan ke badan-badan kebajikan dengan penglibatan peribadi yang menjana pendapatan.

Pasangan itu – yang bukan lagi ahli keluarga diraja bekerja dan melawat dalam kapasiti peribadi – dijadualkan bertemu pesakit dan petugas perubatan di sebuah hospital kanak-kanak, para veteran tentera bersama keluarga mereka, serta mangsa keganasan rumah tangga.

Jadual lawatan itu turut mencerminkan aspek komersial, dengan Putera Harry dijangka menyampaikan ucapan utama di sebuah sidang kemuncak yang mengenakan bayaran tiket sehingga A$2,400 (RM6,733) seorang.

Meghan pula akan mengadakan satu “perbualan secara bersemuka” dalam acara “hujung minggu wanita sahaja” di Sydney, yang dianjurkan oleh penerbit podcast Her Best Life.

Tidak dapat dipastikan berapa bayaran yang diterima Putera Harry dan Meghan bagi acara-acara komersial tersebut.

Pasangan itu mendarat di Lapangan Terbang Melbourne kira-kira jam 6.30 pagi pada Selasa (9.30 malam Isnin waktu BST) menaiki penerbangan komersial Qantas dari Los Angeles.

Ini merupakan lawatan pertama Harry dan Meghan ke Australia sejak 2018, apabila mereka menghabiskan sekitar sembilan hari di negara itu dalam satu jelajah padat, hanya beberapa bulan selepas perkahwinan mereka.

Jika lawatan tersebut sebelum ini menyaksikan kehadiran orang ramai dalam jumlah besar di setiap lokasi yang mereka kunjungi, kali ini tiada acara awam dirancang untuk bertemu orang ramai.

Selepas menarik diri sebagai ahli keluarga diraja bekerja pada Januari 2020 dan tidak lagi menggunakan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia (HRH), Putera Harry dan Meghan melawat sebagai orang awam dan menyatakan bahawa lawatan ini dibiayai secara persendirian.

Namun, timbul persoalan sama ada pembayar cukai Australia akan menanggung sebarang kos untuk aspek keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang semasa lawatan tersebut.

Lawatan ini meliputi Melbourne, Canberra dan Sydney. 

Walaupun isu dan organisasi kebajikan yang dekat di hati mereka menjadi tumpuan utama, sebagai orang awam, pasangan itu bebas untuk memperoleh keuntungan peribadi daripada lawatan ini.

Putera Harry dijadualkan menyampaikan ucapan utama di Sidang Kemuncak Keselamatan Psikososial InterEdge di Melbourne, dengan harga tiket antara sekitar A$1,000 (RM2,800) hingga A$2,400 (RM6,733). 

Sebahagian keuntungan disalurkan kepada badan amal Lifeline. 

BBC telah bertanya kepada penganjur sama ada Duke of Sussex menerima bayaran bagi penglibatannya.

Walaupun program lawatan rasmi berakhir pada petang Jumaat dengan satu perlawanan ragbi di Sydney, pada hari Sabtu Duchess of Sussex akan mengadakan satu “perbualan secara bersemuka” di sebuah pusat kesejahteraan di hotel lima bintang tepi pantai di Sydney.

Peserta membayar sehingga A$3,199 (RM8,975) untuk menghadiri acara “hujung minggu wanita”, dengan pakej VIP termasuk peluang bergambar berkumpulan dengan Meghan.

Tidak diketahui berapa bayaran yang diterima Duchess bagi penglibatannya dalam acara itu, yang masih belum habis dijual dan masih mengiklankan “beberapa bilik tambahan.”

Terdapat juga spekulasi bahawa Australia sedang dipertimbangkan sebagai pasaran untuk jenama gaya hidup Meghan, As Ever, yang dipaparkan secara meluas dalam satu siri Netflix yang dihasilkan oleh syarikat produksi pasangan itu.

Tahun lalu, jenama tersebut telah mendaftarkan tanda dagangan dalam 12 kategori produk berbeza di Australia, menurut pangkalan data harta intelek kerajaan.

Difahamkan pasangan itu memilih untuk tidak mengadakan sesi bertemu orang ramai bagi “meminimumkan gangguan” terhadap orang awam dan organisasi yang mereka kunjungi.

Polis di Victoria dan New South Wales mengesahkan mereka akan menempatkan anggota keselamatan, namun kedua-dua pasukan polis enggan mengulas sama ada kos tersebut akan ditanggung oleh pembayar cukai Australia.

“Pasukan Polis New South Wales akan menjalankan satu operasi untuk memastikan keselamatan awam terpelihara semasa lawatan Duke dan Duchess of Sussex,” kata seorang jurucakap polis.

“Operasi ini memerlukan beberapa langkah keselamatan tambahan sepanjang tempoh lawatan mereka di New South Wales, sambil meminimumkan sebarang gangguan kepada komuniti.”

Seorang jurucakap Polis Victoria pula berkata mereka “maklum bahawa dua individu berprofil tinggi sedang melawat Melbourne dalam kapasiti peribadi pada April.”

“Polis secara rutin menilai acara dan lawatan, dan akan menggerakkan sumber mengikut keperluan bagi memastikan keselamatan komuniti.”

Isu keselamatan merupakan perkara sensitif bagi Putera Harry – yang berada di tangga kelima pewarisan takhta Britain – selepas beliau kalah dalam rayuan mahkamah berhubung pengurangan tahap perlindungan keselamatannya ketika berada di UK.

Lawatan ke Australia ini juga merupakan penampilan awam pertamanya sejak minggu lalu muncul laporan bahawa beliau sedang disaman atas dakwaan fitnah oleh Sentebale, badan amal Afrika yang diasaskannya bersama yang lain. - Agensi
 

Must Watch Video