Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran terbuka kepada rundingan yang berprinsip dan logik

Sumber: Adobe Stock
Iran bersedia untuk berunding dan mencapai persefahaman, namun hanya berdasarkan prinsip dan logik.

TEHRAN: Ketua Badan Kehakiman Iran, Gholam Hossein Mohseni Ejei menyatakan Tehran bersedia untuk berunding dan mencapai persetujuan, namun hanya berasaskan “prinsip dan logik”, lapor Mehr News Agency (MNA).

Berucap pada sesi Majlis Tertinggi Kehakiman pada Isnin, Ejei menghuraikan keadaan semasa Iran serta kegagalan musuh mencapai objektif mereka dalam kedua-dua medan “pertempuran” dan “diplomasi” selepas 40 hari perang pencerobohan Amerika Syarikat (AS)-Israel.

Ketua hakim itu berkata AS, dengan sikap angkuh dan bongkak yang lazim, serta berpegang kepada formula tetap mereka dalam rundingan iaitu mengemukakan dakwaan palsu, tampil dalam rundingan yang dimudah cara Pakistan di Islamabad pada 11 April dengan cuba memperoleh apa yang gagal mereka capai dalam perang selama 40 hari itu di meja rundingan.

Bagaimanapun, beliau berkata, delegasi Iran yang diketuai Speaker Parlimen, Mohammad Baqer Qalibaf secara berhemah mempertahankan hak sah rakyat Iran serta pencapaian di medan pertempuran, sekali gus menggagalkan niat rakus dan angkuh AS sebagaimana mereka ditewaskan dalam pertempuran 40 hari itu.

Ejei berkata, Iran bersedia untuk berunding dan mencapai persefahaman, namun hanya berdasarkan prinsip dan logik.

Ketua badan kehakiman itu turut berkata, melindungi serta mempertahankan pencapaian dalam perang pertahanan ketiga merupakan keutamaan semua rakyat, daripada diplomat dan anggota cabang eksekutif hingga penjawat negara dalam badan kehakiman dan perundangan, serta rakyat Iran daripada pelbagai aliran pemikiran dan pandangan.

Sambil menekankan kepentingan mengekalkan perpaduan nasional, Ejei menegaskan rakyat Iran terus bersatu dan teguh mematuhi Pemimpin Revolusi Islam, Ayatollah Seyed Mojtaba Khamenei serta berada di medan bagi memberikan sokongan menyeluruh kepada angkatan bersenjata.

Beliau turut memberi amaran bahawa jari anggota tentera Iran sentiasa berada di picu, dan menegaskan bahawa susulan gencatan senjata sementara itu, tiada sebarang kelonggaran atau jeda dalam kalangan anggota tenteranya.

-- BERNAMA-MNA

Must Watch Video