KUALA LUMPUR: Minggu ini harga minyak melepasi AS$100 setong. Ditanya sama ada peningkatan harga ini akan memberi pulangan lebih tinggi kepada PETRONAS, Pengerusi Khazanah Research Institute (KRI), Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata realitinya tidak semudah itu.
Jelasnya, syarikat minyak dan gas nasional itu masih perlu menanggung kos operasi yang tinggi memandangkan negara masih bergantung kepada import minyak global.
“PETRONAS terjejas dengan peningkatan harga apabila mengimport minyak mentah. Operasi di Malaysia juga terjejas.
“Peningkatan harga minyak global ini tidak boleh dilihat daripada sudut hasil sahaja, sebaliknya kos juga meningkat kerana kos import lebih mahal.
“Operasi PETRONAS di luar negara, secara ironinya, membawa hasil yang lebih rendah memandangkan ringgit lebih kuat daripada dolar Amerika,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Dalam temu bual sama, Pengarah Institut Penyelidikan Isu Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Phar Kim Beng pula berpandangan kekurangan bekalan minyak, jika wujud, boleh ditangani dengan membeli daripada negara yang mempunyai lebihan rizab yang banyak.
“Dalam isu minyak ini, jika kita guna loji penapisan minyak di Jepun dan Australia, cabaran yang sedang kita hadapi boleh ditangani. Tetapi negara-negara yang paling tenat ialah Thailand dan Indonesia, kerana kedua-dua negara ini ada rizab yang rendah.
“Maksudnya jika negara-negara ASEAN ketandusan minyak, mereka boleh cari loji-loji penapisan minyak di Jepun untuk beli minyak. China telah keluarkan kenyataan bahawa eksport minyak akan dihentikan untuk pertahankan kepentingan nasional terlebih dahulu,” jelasnya.
Kim Beng menegaskan Malaysia ketika ini berada pada tahap kesediaan yang baik untuk berdepan cabaran bekalan minyak memandangkan negara masih mempunyai rizab yang mencukupi untuk kegunaan selama lebih 140 hari.
Untuk konteks, AS dan Israel melancarkan serangan tanpa provokasi ke atas Iran pada 28 Februari lalu yang menyebabkan kematian pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Selain itu, sejak 12 hari lalu, kedua-dua pihak berbalas serangan dengan AS mendakwa telah melumpuhkan keupayaan tentera udara dan laut Iran. Manakala, Iran menyasarkan aset ketenteraan AS di negara-negara teluk, serta menyasarkan negara haram Israel.
Dalam pada itu, Iran telah bertindak menghalang kapal pengangkut minyak daripada melintasi Selat Hormuz yang merupakan laluan utama bekalan minyak keluar daripada negara-negara pembekal di Teluk Parsi.
Tindakan Iran telah menyebabkan gangguan bekalan minyak global, memandangkan kira-kira 20 peratus daripada perdagangan komoditi berkenaan dieksport dari rantau berkenaan.