NEW YORK: Harga minyak global melonjak pada Isnin selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata tentera laut negara itu telah memintas dan merampas sebuah kapal kargo berbendera Iran, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga dunia.
Harga minyak mentah Brent, penanda aras global, meningkat lebih empat peratus kepada AS$94.20 setong.
Kenaikan itu membalikkan kejatuhan harga pada Jumaat lalu selepas Iran menyatakan Selat Hormuz akan “dibuka sepenuhnya” kepada kapal komersial bagi baki tempoh gencatan senjata.
Namun pada Sabtu, Tehran mengumumkan penutupan semula selat berkenaan dan memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang menghampiri kawasan itu akan menjadi sasaran.
Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang menyaksikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas asli cecair dunia melaluinya.
Pasaran tenaga terus bergolak sejak AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari, diikuti ancaman Tehran untuk menyasarkan perkapalan di selat berkenaan.
Trump sebelum ini berkata sekatan tentera laut AS akan diteruskan sehingga perjanjian dicapai.
Presiden AS itu turut memaklumkan wakil Washington akan berada di Pakistan pada Isnin bagi rundingan, dengan seorang pegawai White House mengesahkan Naib Presiden JD Vance akan mengetuai delegasi tersebut.
Bagaimanapun, media kerajaan Iran melaporkan Tehran “buat masa ini tidak merancang untuk menyertai” rundingan berkenaan.
Penganalisis berkata pergerakan harga minyak banyak dipengaruhi oleh kenyataan bercanggah kedua-dua pihak.
“Pasaran terus berayun susulan kenyataan di media sosial AS dan Iran, bukan realiti di lapangan yang masih mencabar bagi pemulihan aliran minyak,” kata Saul Kavonic dari MST Marquee.
Ketidaktentuan itu turut memberi kesan kepada pasaran saham global, dengan pasaran Eropah mencatatkan kejatuhan lebih ketara, manakala pasaran Asia kebanyakannya meningkat.
Konflik berkenaan terus mencetuskan krisis tenaga global, khususnya di Asia yang bergantung besar kepada laluan Selat Hormuz untuk keperluan tenaga.